PERANAN tenaga pengajar yang berpengetahuan luas dalam bidang STEM adalah penting.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Pelbagai kegiatan kreatif dan kritis dilaksanakan pihak sekolah bagi menggalakkan murid mendalami ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Panitia Sains Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2), Kuala Lumpur, Nor Aliza Mohd Arif berkata, pendedahan secara asas teknologi kejuruteraan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) turut dilaksanakan bagi menarik minat murid.

“Selain penekanan bidang STEM yang tertumpu pada mata pelajaran Sains dan Matematik, penganjuran pertandingan kejuruteraan seperti memasang serta menggerakkan kereta menggunakan bahan tertentu memberi peluang kepada murid untuk berfikir.

“Selain itu, pertandingan melancarkan roket air pada sasaran juga menggalakkan murid untuk berfikir secara kritis tidak kira sama ada dijalankan secara berkumpulan atau individu,” katanya.

Antara aktiviti membabitkan aktiviti STEM yang dijalankan pada peringkat sekolah sehingga kebangsaan termasuk Karnival STEM, Roket Air dan Program Bersama-sama Angkasawan Negara.


KEGIATAN sains menjadi seronok dengan pelbagai eksperimen dijalankan.

Program itu membolehkan murid mendapatkan pendedahan sewajarnya selain memupuk minat mereka untuk terus mendalami subjek berkaitan STEM.

Di SKTM2 umpamanya, pihak sekolah mengadakan kerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menganjurkan Bengkel Robotik, program lawatan sehari ke Pusat Sains Negara, Petrosains dan universiti awam yang menyediakan pembelajaran berkaitan STEM.

Nor Aliza yang juga Penyelaras Kebitaraan Sains dan Teknologi SKTM2 berkata, STEM bukan saja menarik minat murid untuk meminati bidang Sains dan Matematik semata-mata, malah berupaya membina keyakinan diri dalam kalangan murid.

“Ada sesetengah pertandingan memerlukan pesertanya untuk membentangkan kertas kerja berkenaan projek yang dilaksanakan.

“Jadi, keyakinan diri murid juga dapat dibina kerana mereka bukan saja perlu bijak mencipta atau membina teknologi, malah diwajibkan untuk menerangkan sesuatu projek,” katanya.


PEMUPUKAN minat kepada STEM perlu dilaksanakan pada usia kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:25 PM