Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Industri perkayuan berkait rapat dengan pembuatan perabot yang berpotensi mendatangkan keuntungan berlipat ganda kepada usahawan di negara ini.

Bagaimanapun, pembabitan belia khususnya dalam bidang berkenaan tidak begitu menggalakkan kerana kurang diberi pendedahan.

Berbicara berkenaan kerjaya dalam bidang itu, sudah pasti gambaran pertama ialah bengkel dipenuhi dengan papan dan habuk.

Suasana kerja yang kurang selesa dengan bunyi bising daripada mesin kayu menjadi punca sebahagian golongan muda tidak berminat.

Ditambah pula profesionnya dianggap kelas kedua oleh segelintir masyarakat yang berpendapat bekerja di sektor itu tidak perlu mempunyai kelulusan akademik tinggi.

Tapi tahukah anda, industri perkayuan di Malaysia adalah penyumbang besar kepada sektor komoditi iaitu dengan pendapatan eksport bernilai RM23.2 bilion pada 2017.


PENUNTUT perkayuan turut didedahkan dengan pengenalan tumbuhan.

Setakat Mei lalu, pendapatan eksport perkayuan dan produk kayu bagi 2018 pula mencecah RM8.9 bilion.

Pensyarah Program Teknologi Berasaskan Kayu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam, Nurin Hafilah Hamzah berkata, industri perkayuan kini tidak seperti suatu ketika dulu kerana kebanyakan kemahiran yang diterapkan berasaskan teknologi moden.

Katanya, industri perkayuan dan perabot terus-menerus memberi sumbangan terbesar kepada pembangunan serta kemajuan sosioekonomi negara.

Permintaan perabot dan produk kayu tetap meningkat dan industri berkenaan memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi memastikannya terus berkembang.


PENUNTUT mempelajari teknik mengukir asas program perkayuan.

“Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini tidak menyedari potensi industri perkayuan masih luas dan besar,” katanya.

Katanya, ia terbukti melalui kemasukan ke PSA apabila jumlah penuntut yang memilih untuk mengikuti kursus perkayuan masih kecil berbanding kursus lain.

“Pandangan segelintir masyarakat berpendapat ‘budak kayu’ tiada peluang kerja sebaik tamat pengajian antara yang menyebabkan kursus ini kurang digemari. Hampir 80 peratus penuntut yang mengikuti program ini pula adalah kursus bukan pilihan,” katanya.


SEBAHAGIAN proses yang perlu dipelajari iaitu pengeringan.

Menurutnya, kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menjadikan program perkayuan kini selari dengan kemajuan teknologi semasa apabila pelbagai peralatan moden dan komputer diguna pakai ketika sesi latihan bengkel.

Pada masa sama, program perkayuan turut bermatlamat melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dalam bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan mencapai status negara berpendapatan tinggi.


PENUNTUT perkayuan sedang menjalankan aktiviti bengkel.

“Di PSA, bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0, bukan saja melalui latihan yang diterapkan tapi kemahiran teknologi turut diperkenalkan bagi memastikan penuntut memiliki segala yang diperlukan pasaran pada masa kini.

“Selain menyambung pengajian, kami juga mahu graduan ini memiliki perniagaan atau bengkel sendiri kerana ia berpotensi meningkatkan industri perkayuan,” katanya.


TEKNOLOGI moden digunakan untuk mengukir kayu.

Katanya, program pengajian Diploma Teknologi Berasaskan Kayu dicipta untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan teori, kemahiran teknikal dan tingkah laku yang diperlukan dalam bidang teknologi perkayuan.

“Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran program pengajian ini dijalankan di bilik kuliah, bengkel dan industri berkaitan yang meliputi skop kerja di dalam industri perkayuan.

“Bidang ini meliputi aspek sains kayu, kejuruteraan kayu dan teknologi pemprosesan kayu yang merangkumi jenis dan ciri-ciri kayu, penggunaan dan produk kayu serta peralatan dan teknologi terkini dalam industri berasaskan kayu,” katanya.


PENUNTUT PERKAYUAN menggunakan mesin teknologi untuk ukiran yang kemas.

Dalam menghasilkan modal insan terbaik bagi industri perkayuan dan perabot tempatan, program Asas Teknologi Perkayuan tidak hanya menumpukan perhatian mereka di dalam kelas semata-mata.

“Bagi memastikan program ini lengkap, penuntut didedahkan dengan pelbagai program luar seperti penyertaan dalam pertandingan di peringkat politeknik dan luar negara.

“Selain belajar berkenaan asas perkayuan, penuntut juga diajar kemahiran insaniah, kemahiran berkomunikasi dan kerja berpasukan supaya mereka dapat berkomunikasi, berinteraksi dan bekerja secara berpasukan dengan penuh bertanggungjawab serta berkesan.


HASIL ukiran daripada mesin teknologi.

“Segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh pelajar sangat berguna untuk membina kerjaya ataupun melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang teknologi perkayuan,” katanya.

Terdapat lima universiti awam (UA) yang menyediakan laluan kepada kursus berkenaan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


PENUNTUT perkayuan bersama hasil rekaan yang bakal dipertandingkan.

Prospek kerjaya

Peluang pekerjaan pelajar selepas menamatkan pengajian dengan Diploma Teknologi Berasaskan Kayu adalah seperti berikut:

• Pereka Produk Kayu

• Juruteknik Penggred Kayu

• Pembantu Makmal

• Pegawai Kawalan dan Jaminan Kualiti

• Penyelia

• Penolong Pegawai Pemasaran

• Penolong Pegawai Penyelidik

• Pengusaha Produk Kayu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:57 PM