PESERTA diberi maklumat mengenai cendawan beracun.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Cendawan adalah organisme di dalam keluarga kulat yang boleh dimakan. Bukan saja mudah untuk dihasilkan, cendawan juga didapati mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan tubuh manusia termasuk vitamin, mineral dan antioksidan.

Kandungan serat dan protein yang tinggi juga sangat membantu seseorang yang mengamalkan diet seimbang.

Namun terdapat beberapa jenis cendawan yang boleh memudaratkan kesihatan manusia kerana kandungan toksin yang terdapat di dalam spesiesnya.

Pensyarah kanan dari Jabatan Farmasi Universiti Malaya (UM), Dr Phan Chia Wei berkata, kesan keracunan akibat pemakanan cendawan semakin menular di Malaysia. Pada 2016, sejumlah 71 kes keracunan cendawan dilaporkan di seluruh negara.

“Kes keracunan cendawan sering kali tidak dilaporkan terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Untuk 2018 hingga setakat kini, terdapat lebih daripada 15 kes keracunan cendawan dilaporkan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Pengendalian Keracunan Cendawan untuk pengamal perubatan kecemasan, jururawat dan pegawai kesihatan, baru-baru ini.

Menurut Dr Phan lagi, dalam kebanyakan kes keracunan, mereka yang terbabit selalunya memetik cendawan yang tumbuh meliar di sekitar kawasan taman dan hutan, kemudian memasaknya di rumah.

Katanya, mereka melakukannya tanpa disedari kerana spesies cendawan beracun kelihatan serupa seperti kulat biasa dan akan tumbuh di sekitar kawasan yang sama dengan cendawan lain.


CENDAWAN jenis Chlorophyllum molybdites yang beracun sering kali dijumpai di Malaysia.

“Masyarakat diingatkan supaya hanya mendapatkan cendawan yang ditanam secara komersial, bukan mengutipnya sendiri kerana bimbang mengundang keracunan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Cendawan Malaysia, Prof Dr S Vikineswary berkata, doktor yang merawat pesakit di bahagian kecemasan selalunya tidak tahu bagaimana mengendalikan kes membabitkan pemakanan cendawan beracun kerana pesakit selalunya hadir dengan tanda serupa dengan keracunan makanan biasa.

“Kemahiran mengendalikan keracunan cendawan penting untuk membantu menyelamatkan pesakit. Toksin yang terkandung dalam cendawan selalunya memberi kesan yang cepat dan mendadak serta membahayakan nyawa pesakit,” katanya.

Katanya, kes keracunan cendawan di Malaysia berpunca daripada cendawan jenis payung palsu atau cendawan klorofil atau nama saintifiknya Chlorophyllum molybdites.


CENDAWAN wujud dalam pelbagai bentuk, warna dan saiz.

“Bentuk, saiz, dan warna cendawan beracun ini hampir serupa dengan cendawan busut atau cendawan tahun (spesies Termitomyces). Namun satu ciri khusus cendawan beracun ini adalah spora yang berwarna hijau,” katanya.

Bengkel yang julung kali dianjurkan ini mendapat kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) dan Pusat Penyelidikan Cendawan Malaysia. Program itu dihadiri hampir 200 pegawai perubatan dan jururawat dari seluruh negara.

Penyelidik cendawan dari Institut Sains Biologi UM, Dr Tan Yee Shin berkata, kesan keracunan cendawan boleh menjadi sangat serius dan bergantung kepada tahap toksin yang terdedah kepada tubuh.

“Keadaan pesakit boleh menjadi sangat kritikal hingga membawa kepada kegagalan organ dalaman tubuh daripada berfungsi terutama hati,” katanya.


MASYARAKAT diingatkan hanya mendapatkan cendawan yang ditanam secara komersial untuk dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:14 PM