PERSEMBAHAN tarian tradisional daripada pelajar memeriahkan lagi majlis penutup festival.
MOHD ISMAIL (tengah) bersama pemenang tempat pertama kategori dikir barat Kumpulan Gema Pendita.
Sarah Aina Shawal
Sarah.aina@bh.com.my

Politeknik Kota Kinabalu, Sabah melakar sejarah apabila buat julung kalinya dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Festival Kebudayaan dan Semarak Merdeka, Politeknik dan Kolej Komuniti 2018 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), baru-baru ini.

Politeknik Kota Kinabalu turut merangkul lapan kemenangan lain termasuk menjuarai pertandingan dikir barat dan nyanyian duet lagu patriotik.

Tempat kedua keseluruhan pula menjadi milik PSA sementara Politeknik Kota Bharu, Kelantan menjadi pemenang tempat ketiga.

Hadiah kepada pemenang keseluruhan disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz yang turut merasmikan majlis penutup festival berkenaan. Turut hadir, Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.

Dr Mohd Ismail berkata, acara sebegini bukan hanya sambutan semata-mata malah turut menjadi medium lain untuk penuntut mengenali dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

“Kemerdekaan bukanlah sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tapi ia lebih membanggakan apabila setiap rakyatnya perlu mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada negara ini dengan sepenuh jiwa raga. Selain sanggup berkorban apa saja demi negara dan semangat itu harus dipupuk dari sekarang,” katanya.


PERSEMBAHAN tarian tradisional daripada pelajar memeriahkan lagi majlis penutup festival.

Beliau berkata, generasi muda hari ini adalah penentu jatuh bangun sesebuah negara dan aset penting bagi mengekalkan kedaulatan serta keharmonian negara pada masa akan datang.

Sempena festival itu, pelbagai acara diadakan termasuk dikir barat, solekan berkarakter, nyanyian lagu patriotik, pertandingan fotografi dan melukis potret tokoh.

Sementara itu, jurulatih dikir barat bagi pasukan Gema Pendita Politeknik Kota Kinabalu, Mohd Khairul Fathi Mokhtar berkata, pihaknya tidak menjangka kemenangan itu sekali gus dinobatkan sebagai johan dikir barat dan menggondol anugerah utama johan keseluruhan festival.

“Kemenangan ini hadiah buat Politeknik Kota Kinabalu atas sokongan semua pihak yang bertungkus-lumus memberi komitmen berkorban masa beberapa minggu merealisasikan impian untuk melakar kejayaan ini terutama daripada semua ahli peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 1:49 PM