Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading antara saat yang paling indah dalam hidup seseorang.

Dalam menempuh alam itu, siswa juga perlu bijak menilai baik buruk tindakan diambil, selain berpegang pada matlamat utama ke menara gading adalah untuk menuntut ilmu hingga membawa pulang segulung ijazah.

Perancangan kewangan dan pengurusan masa sangat penting bagi siswa supaya pengajian berjalan lancar serta tidak memberi tekanan.

Mereka yang mendapat bantuan kewangan sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman pasti ‘tersenyum hingga ke telinga’ kerana jumlah yang dikreditkan ke dalam akaun boleh mencecah hingga empat angka.

Pada awal semester, ramai mempunyai kecenderungan meraikan hubungan sosial dengan rakan masing-masing hingga sanggup makan di lokasi yang mewah dan berbelanja secara berlebihan di pasar raya.

Ada juga yang mengambil kesempatan dengan merancang aktiviti percutian bersama rakan. Tapi awas! Ini semua menjerat kewangan anda.


SENTIASA mengutamakan pengajian.

Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Afandi Ahmad berkata, hakikatnya tidak kiralah bagaimana metodologi bajet diagihkan, ramai yang tersilap langkah dan akhirnya tidak tahu apa yang dibelanjakan.

Katanya, siswa mesti mempunyai aspek tegas diri iaitu ukur baju di badan sendiri.

“Pada awal semester, mesti sediakan perancangan kiraan kewangan yang terperinci. Kos perbelanjaan harian perlu dibahagikan mengikut keperluan makan dan minum, kos menyelesaikan tugasan akademik misalnya lawatan, pembelian peralatan projek individu atau berkumpulan, percetakan tugasan dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, siswa juga mesti menyediakan catatan penjimatan atau langkah pencegahan berdasarkan pengalaman semester lalu.

“Jika gagal mengawal nafsu, ramailah yang terjerat, natijahnya pada pertengahan semester sudah mula pening dengan meminjam wang daripada rakan hingga ada terpaksa mengikat perut dengan mi segera,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan dalam aspek perancangan kewangan ini sebenarnya juga boleh mengganggu pengajian dan pengambilan makanan yang tidak seimbang serta rendah kualitinya juga merencatkan pemikiran.


USAH leka dengan permainan komputer kerana akan mengganggu pengajian.

Selain pengurusan kewangan, Dr Afandi berkata pengurusan masa dianggap ‘klise’ sebilangan besar mereka yang berada di universiti.

Katanya, dengan sistem akademik berasaskan semester, penjadualan berasaskan jam belajar pelajar (JBP) adalah perlu.

“Siswa semestinya boleh membina jadual pengurusan diri mereka sendiri berasaskan JBP. Ia bukan saja boleh menyukat jumlah jam yang diperuntukkan untuk setiap kredit, malah imbangan masa untuk aspek lain seperti kehidupan, bersosial dan berpersatuan juga dapat direalisasikan.

“Oleh kerana aspek ini diabaikan pada awal semester, ramai yang bersikap sambil lewa dan suka menangguh kerja. Tanpa perancangan strategik berhubung pengurusan masa, ramai juga yang tidak lebih seperti menjadi ‘ayam ternak’ saja di universiti,” katanya.


TAHU matlamat sebenar pengajian.

Pengurusan itu membantu siswa banyak perkara termasuk menanda rajah masa dengan jelas, tarikh ujian, tugasan dan pembentangan bagi berupaya mengelakkan dari terjerumus kepada budaya mengumpul kerja pada saat akhir.

“Bayangkan jika semua tugasan dikumpulkan dan kemudian bertindih dengan tarikh ujian, sudah pasti kualiti yang diberikan kurang memuaskan.

“Kelak, siswa yang dilahirkan hanyalah mereka yang mahir menghafal dan memuntahkan semula jawapan di dewan peperiksaan. Ini bukanlah siswa yang ingin kita lahirkan, kita mahu lebih daripada itu,” katanya.


JANGAN tangguh tugasan kerana memberi tekanan pada saat akhir.

Menurut Dr Afandi, di universiti pengaruh rakan sebaya besar impaknya. Sikap suka mengikut rakan lazimnya berlaku apabila didorong kurangnya keyakinan diri dan lebih selesa menjadi pengikut berbanding pemimpin.

“Ini disebabkan, mereka berasakan lebih selamat terus bersama rakan yang dikenali bagi memudahkan banyak perkara terutama sekali dalam aspek menyelesaikan tugasan dan projek berkumpulan.

“Bagi mereka yang negatif dan kaki ‘tuang’ kuliah pula, berada dalam seksyen akademik ramai orang suruhan juga sangat penting, khusus untuk membantunya meniru tandatangan kehadiran kuliah.

“Tapi, awas hari ini dengan kepesatan teknologi, universiti tidak lagi menggunakan sistem kehadiran manual berasaskan tanda tangan, malah menggunakan pelbagai kaedah. Misalnya kod capaian pantas (QR) yang akan berubah pada setiap dua (2) saat untuk diimbas bagi tujuan rekod kehadiran,” katanya.


KAWAN yang baik mampu mendorong penuntut untuk berjaya.

Katanya, tanpa persaingan yang positif, ramai siswa mudah selesa dan tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh. Tidak ramai yang merebut dan mencipta peluang dan hanya sekadar menunggu untuk ‘disuap.’

“Kumpulan ini akan terus membawa kayuhan yang sama pada setiap semester tanpa memikirkan cabaran berbeza-beza, memerlukan usaha dan tumpuan lebih mendalam,” katanya.

Sikap mengikut rakan ini juga lama-kelamaan boleh membentuk siswa yang kurang berpendirian dan tidak jelas dengan apa dimahukan sepanjang pengajian.

“Pengalaman di menara gading tidak diberikan kepada semua orang. Jadi, seharusnya ia dihargai. Menteri pendidikan sendiri acap kali menekankan tiga nilai utama yang mesti menjadi gelombang utama di universiti iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati, manfaatkan awal semester dan masa di universiti untuk membina nilai diri. Universiti adalah citra kecemerlangan,” katanya.


SENTIASA aktif bagi memastikan penuntut tidak rasa rendah diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:17 PM