AHMAD NIZAM (tengah) beramah mesra dengan pelajar yang berkunjung ke Festival Sains Petrosains.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Festival Sains Petrosains kembali lagi dengan tema Kembara ke Masa Hadapan dan Terokai Kehebatan Sains.

Pengerusi PETRONAS Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, festival itu antara inisiatif utama Petrosains untuk mempopularkan pembelajaran sains melalui platform yang menarik, berteraskan pendidikan dan berimpak tinggi.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada komitmen Petrosains untuk memupuk pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang lebih bermakna.

“Tema Kembara ke Masa Hadapan dan Terokai Kehebatan Sains mencerminkan semangat dan aspirasi Petrosains untuk bergerak maju seiring dengan Revolusi Industri 4.0

“Melalui festival ini, Petrosains berharap dapat berkongsi dengan pengunjung berkenaan ilmu sains dan kemungkinan masa hadapan,” katanya pada majlis pelancaran di Esplanade, KLCC Park, baru-baru ini.

Majlis pelancaran turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Urus Harta Datuk Hashim Wahir dan Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains dan Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Zahariah Abdul Rahman.


AHMAD NIZAM (empat dari kiri) dan Tengku Nasariah (lima dari kanan) ketika majlis pelancaran.

Tahun ini, 54 rakan kolaborasi termasuk kerjasama antarabangsa dan tempatan menyertai festival berkenaan.

Pelbagai aktiviti menarik bakal diketengahkan seperti teknologi ‘humanoids’ atau robot, ceramah, pameran dan aktiviti berteraskan teknologi, penjagaan kesihatan, pendidikan dan komunikasi serta masa depan persekitaran kita.

Sementara itu, Tengku Nasariah berkata, Pusat Sains direka dan menjadi struktur pembelajaran persekitaran yang memainkan peranan penting sebagai sistem menyokong pembelajaran formal serta berterusan.

“Pusat Sains akan dapat membantu orang ramai mempelajari perubahan dan cabaran yang sedang berlaku di dunia.

“Program berteraskan pendidikan, pameran dan festival seperti ini mempunyai potensi untuk membantu orang ramai melihat serta memahami kemungkinan masa hadapan, sains pada esok hari selain bagaimana untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Festival sains ini diadakan buat pertama kalinya pada 2013 dan pada tahun ini, festival di KLCC diadakan di The Galleria, Tingkat 4, Petrosains, Concourse, Suria KLCC dan di Esplanade, KLCC Park.


AKSI robotik menarik perhatian pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:00 PM