PENUNTUT kejururawatan Kolej SEGi ketika menjalankan latihan amali.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei mengangkat Florence Nightingale sebagai tokoh jururawat wanita terkemuka dalam sejarah. Namun, tidak juga bermakna bidang kejururawatan eksklusif bagi wanita saja.

Malah isu kekurangan jururawat lelaki bermula dari institusi pendidikan lagi kerana kurangnya penuntut daripada golongan itu.

Walaupun ia bukan isu baru, pandangan kedudukan lelaki dalam kejururawatan perlu dikupas dari perspektif masa kini.

Ketua Akademik merangkap Ketua Sekolah Kejururawatan dan Sains Kesihatan Bersekutu, Kolej SEGi Kuala Lumpur Dr Veronica Chua berkata, situasi kekurangan jururawat lelaki tidak pernah berubah di Malaysia mahupun di luar negara.

“Statistik penuntut lelaki untuk dua program kejururawatan yang ditawarkan di Kolej SEGi Kuala Lumpur iaitu Diploma Kejururawatan dan Ijazah Sarjana Muda Latihan Profesional Kejururawatan menunjukkan jumlah yang rendah iaitu hampir lima peratus (diploma) dan 21 peratus (sarjana muda),” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Ijazah Kejururawatan Paramesevary L Subramaniam pula berkata, perbezaan ketara jumlah penuntut lelaki dan perempuan tidak boleh dinafikan.

Bagaimanapun, beliau percaya jurang ini akan berkurangan kerana potensi untuk peratusan itu bertambah pada masa hadapan memang ada.

Katanya, keyakinan ini berdasarkan permintaan industri terhadap jururawat lelaki yang semakin meningkat dan program kejururawatan yang berkualiti di Kolej SEGi direka sesuai buat semua penuntut lelaki mahupun perempuan.

“Jumlah pelajar berdasarkan jantina bukan fokus utama bagi kami di Kolej SEGi. Objektif utama kami ialah mempersiapkan semua penuntut program ini dengan kemahiran dan kesediaan tertinggi tanpa membezakan pelajar,” katanya.

Penuntut tahun tiga program Diploma Kejururawatan, Kolej SEGi Kuala Lumpur Che Muhammad Firdaus Che Zarani berkata, program kejururawatan di Kolej SEGi direka meliputi semua jantina.

“Jururawat lelaki penting dan sangat diperlukan dalam memberikan bantuan fizikal yang lebih berbanding jururawat perempuan dalam situasi sebenar di hospital,” katanya.

Program kejururawatan Kolej SEGi yang ditawarkan memberi opsyen kepada penuntut untuk mengembangkan kerjaya di hospital swasta atau kerajaan.

Pembelajaran yang dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, sekali gus memperkayakan penuntut dengan daya saing di peringkat global.

Pada masa sama Kolej SEGi turut memastikan pengalaman pembelajaran yang berkualiti melalui penyampaian ilmu pengetahuan dan pendedahan dalam bentuk latihan praktikal daripada ahli akademik berpengalaman dan berdedikasi.

Di samping itu, Kolej SEGi juga turut menawarkan program lain seperti Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerja, Diploma Kesihatan Alam Sekitar, Diploma Pengurusan Penjagaan Kesihatan dan Diploma Teknologi Makmal Perubatan.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) atau kelayakan akademik yang setaraf boleh memohon biasiswa ditawarkan Kolej SEGi termasuk Biasiswa Pelajar Cemerlang dan Biasiswa Sukan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.segi.edu.my/

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 1:09 PM