TENAGA pengajar yang mahir bagi memastikan program kemahiran berkesan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara topik yang sering diperkatakan termasuk perbahasan di peringkat Parlimen negara.

TVET dilihat sebagai antara instrumen penting terutama kepada negara membangun seperti Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor ekonomi.

Malah, ia adalah satu bidang yang terdiri daripada aspek pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran selaras dengan keperluan pelbagai sektor pekerjaan, penghasilan, perkhidmatan serta aktiviti harian manusia.

Di Malaysia, sektor TVET dilihat lebih menjurus kepada latihan dan pendidikan dalam menghasilkan juruteknologi, tenaga kerja mahir serta separa mahir negara yang terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan.


BIDANG kemahiran automotif turut diceburi wanita.

Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Selangor Khairul Azhar Abdul Rahim berkata, pada masa ini, sektor pekerjaan dalam negara dilihat terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dan situasi ini kurang baik dari aspek pembangunan ekonomi negara.

Katanya, selain pelaksanaan pendidikan dan latihan kepada belia, bidang TVET turut berperanan memberikan latihan peningkatan kemahiran kepada pekerja sedia ada.

“TVET juga antara salah satu penyelesaian kepada masalah pengangguran dalam kalangan belia sekiranya dilaksanakan dengan berkesan.

“Pada masa sama mampu membantu dalam misi Malaysia berstatus negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi terutama dalam mendepani era revolusi perindustrian keempat,” katanya.


PELBAGAI kelengkapan terkini di bengkel DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) untuk kegunaan penuntut.

Katanya, cabaran paling besar dalam pelaksanaan TVET di negara ini adalah memperbetulkan persepsi dan meyakinkan masyarakat berkenaan kualiti yang mampu ditawarkan sektor TVET.

“Masyarakat khasnya ibu bapa dilihat sangat skeptikal terhadap TVET dan beranggapan ia sebagai pilihan kedua terutama bagi mereka yang mendapat pencapaian akademik kurang memberangsangkan.

“Selain itu, pelaksanaan TVET di Malaysia dilihat lemah daripada segi penyelarasan apabila terdapat dua badan akreditasi terbabit dalam persijilan dan pemantauan kualiti.

“Hal ini dikhuatiri menjejaskan fokus pelaksanaan TVET dalam jangka masa panjang dan berpotensi menjejaskan perkembangan sektor ini,” katanya.

Katanya, pada masa yang sama terdapat tujuh Kementerian yang melaksanakan TVET melalui 18 agensi di bawah seliaan masing-masing.


BIDANG persolekan turut memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Situasi ini menyebabkan terjadinya pertindihan fungsi penyedia latihan dan dikhuatiri akan menjejaskan kualiti keluaran TVET terutama apabila membabitkan sistem penilaian yang tidak seragam,” katanya.

Jelas beliau lagi, TVET di Malaysia dilaksanakan dengan kurikulumnya dirangka berdasarkan input daripada pihak industri.

“Hal ini bagi memastikan keluaran sektor TVET mampu memenuhi keperluan pelbagai sektor pekerjaan dalam negara.

“Bagaimanapun, sektor industri dilihat masih perlahan dalam memberikan input dan kerjasama dalam membangunkan sektor ini. Oleh itu, pembabitan sektor industri perlu diperhebatkan,” katanya.


MEMILIKI kemahiran membolehkan individu menjadi usahawan berjaya.

Khairul Azhar berkata, pada masa ini bidang akademik yang ditawarkan di universiti masih dilihat mempunyai kedudukan tinggi berbanding TVET.

Apabila mahasiswa berupaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi seperti ijazah doktor falsafah (PhD), ia antara sebahagian faktor pendidikan pilihan belia mahupun ibu bapa.

Oleh itu, katanya, satu struktur laluan latihan dan pendidikan yang lebih luas dan tersusun harus diwujudkan bagi menjadikan sektor TVET lebih berdaya saing serta mampu menarik minat masyarakat.

“Laluan ke tahap pendidikan yang lebih tinggi dalam bidang TVET perlu diwujudkan dan ia mampu melonjakkan martabat bidang ini lebih tinggi di mata masyarakat,” katanya.

Katanya, antara faktor penting dalam memastikan kejayaan bidang TVET adalah peranan tenaga pengajarnya.


PEMASANGAN elektrik antara kursus yang ditawarkan dalam skop kemahiran.

Tenaga pengajar bidang TVET harus memastikan mereka sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran pedagogi yang berkesan, perkembangan teknologi terkini dan sentiasa peka terhadap kehendak pihak industri.

Bagi memastikan hal ini mampu dilaksanakan, aspek jurang kompetensi (pengetahuan) tenaga pengajar perlu diberi tumpuan.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11), kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) membangunkan projek Profil Kompetensi Pengajar TVET Malaysia ataupun ringkasannya eProfilling.

“Melalui inisiatif ini, data kompetensi tenaga pengajar dapat dipantau secara dalam talian dan masalah jurang kompetensi dapat diatasi dengan memberikan latihan yang bersesuaian.

“Ia termasuk latihan sangkutan industri kepada tenaga pengajar supaya mereka mendapat pendedahan berkenaan teknologi terkini dan perkembangan semasa sektor pekerjaan,” katanya.


SENI kulinari salah satu cabang TVET.

Selain itu katanya, bagi memastikan bidang TVET berkembang dengan baik, aspek kualiti dalam pelaksanaannya perlu dititikberat dan ditingkatkan.

“Penyelarasan kurikulum latihan dan pendidikan yang kukuh, menepati kualiti serta memenuhi keperluan sektor pekerjaan mampu menarik minat masyarakat menceburi bidang ini.

“Bagi meningkatkan imej TVET, kurikulum latihan dan pendidikannya haruslah dirangka supaya bukan saja diiktiraf di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dipengerusikan Nurul Izzah Anwar harus dilihat sebagai titik perubahan ke arah pelaksanaan TVET yang lebih baik sekali gus menaikkan imej bidang ini di mata masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 1:13 PM