PERSEMBAHAN daripada penuntut Filipina dengan menggayakan pakaian tradisional mereka.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Politeknik Merlimau Melaka (PMM) antara yang sinonim dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pada masa sama turut mengembangkan peranan melalui penawaran khidmat PolyTravel iaitu perkhidmatan pelancongan kepada orang luar tidak kira dalam atau luar negara.

Menurut pengarahnya Rashidah Mustapa, antara yang menggunakan khidmat PolyTravel ini ialah delegasi siswa dari Filipina iaitu Trimex Colleges.

"Seramai 12 pelajar Filipina termasuk dua pensyarah pengiring menggunakan khidmat kepakaran PMM. Apa yang lebih menarik, PMM menguruskan segala aspek perjalanan mereka ke Malaysia," katanya.

Katanya, kehadiran 12 pelancong Filipina itu yang juga graduan dalam bidang pelancongan dan hospitaliti bertujuan mempelajari sosio-budaya Malaysia, makanan dan pelbagai aspek lain yang menarik di negara ini.

"Pada hari pertama, mereka dibawa ke sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Sementara pada sebelah malam hari pertama pula, mereka disajikan makan malam dengan iringan persembahan kebudayaan dari penuntut PMM.


PENUNTUT Filipina menikmati makanan tempatan Malaysia.

"Keesokan harinya, taklimat berkenaan PMM dan program yang ditawarkan di bawah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), demonstrasi masakan, pengenalan terhadap masakan tempatan seperti laksa dan onde-onde, sesi perkongsian pengetahuan berkenaan perkhidmatan mesra Muslim serta pengenalan terhadap amalan halal.

"Tidak hanya terhenti di situ, apabila agenda bagi memperkenalkan Malaysia kepada delegasi Filipina ini diteruskan pada hari ketiga. Mereka dibawa melawat ke Melaka yang diiktiraf antara tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) termasuk Victoria Fountain, Stadhuys, A Famosa, Church, Saint Paul Hill, Muzium dan Jonker Walk," katanya.

Rata-rata delegasi Filipina berkenaan melahirkan rasa gembira dengan semua aktiviti dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 12:49 PM