MINGGU orientasi turut mengeratkan hubungan sesama siswa baharu
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Dua minggu lalu, universiti awam (UA) diwarnai pelbagai ragam siswa baharu yang mendaftar bagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda untuk sesi kemasukan 2018/2019.

Minggu ini pula hampir semua universiti selesai menjalani minggu orientasi siswa baharu dan ada antaranya bakal memulakan sesi pengajian di fakulti masing-masing tidak lama lagi.

Program orientasi dipegang sepenuhnya Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk menentukan inti dan pengisian program. Ia program pertama siswa sebaik selesai pendaftaran yang biasanya berlangsung selama satu minggu.

Pada masa sama ia bertujuan memberi pendedahan serba sedikit berkenaan kehidupan di kampus termasuk persekitaran, kaedah pengajian, budaya dan aspek pembinaan sahsiah. Di samping persediaan menghindari pelajar daripada terjebak dengan kejutan budaya.

Mengulas lanjut, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir berkata, minggu orientasi dilihat penting bagi penuntut yang pertama kali melangkah ke gerbang alam baru kehidupan di kampus.


SEKITAR hari pendaftaran siswa baru di UM sesi 2018/2019

Katanya, banyak perbezaan yang perlu ditempuhi penuntut baharu dalam mengharungi perjalanan bergelar siswa.

“Menerusi minggu orientasi ini, siswa didedahkan dan diperkenalkan dengan budaya kehidupan serta pembelajaran di kampus.

“Penuntut juga diperkenalkan dengan pengurusan tertinggi universiti, peraturan dan etika sebagai seorang siswa serta kemudahan yang disediakan di kampus untuk kegunaan atau dimanfaatkan,” katanya.

Katanya, untuk sesi 2018/2019, UPM menerima kemasukan 3,594 siswa bagi program ijazah sarjana muda.

Malah di UPM sendiri, minggu orientasi dikenali sebagai Minggu Perkasa Putra dan bagi pengambilan tahun ini universiti itu menerapkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kebanyakan kemudahan yang disediakan.

Bukan saja mahu memastikan UPM sebagai kampus hijau yang kondusif untuk belajar, malah penggunaan ICT juga bertujuan menerapkan teknologi bestari dalam kehidupan penuntut di kampus.

Katanya, penyusunan program secara rapi dapat memberi manfaat kepada penuntut baharu mengadaptasi dengan cepat kehidupan di kampus.


IBU bapa mengemas bilik siswa baharu pada hari pertama pendaftaran

“Pendedahan yang diberikan dapat memastikan penuntut mengakses segala kemudahan dan perkhidmatan disediakan dengan lancar sebaik mungkin.

“Ia juga memastikan penuntut dapat membuat keputusan dan memilih kokurikulum yang sesuai dengan keperluan mereka,” katanya.

Dr Osman berkata, mahasiswa baru perlu bersikap terbuka dalam menyesuaikan diri dalam kehidupan baru di kampus.

“Suasana pengajaran dan pembelajaran yang dinamik di universiti memerlukan pelajar yang berfikiran positif, kreatif, kritis dan progresif.

“Pihak universiti sentiasa memastikan penuntut tidak duduk bersendirian dan mengasingkan diri dalam segala aktiviti yang dijalankan,” katanya.


PELBAGAI maklumat mengenai universiti disampaikan pada minggu orientasi

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, siswa perlu bijak menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus dan bersikap terbuka untuk bergaul tanpa mengira asal bangsa, agama dan negara asal.

Katanya, sistem pengajian di universiti berbeza dengan sekolah. Oleh itu, siswa perlu cepat menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini.

“Dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), proses pengajaran dan pembelajaran juga perlu bersedia serta bergerak seiring dengan agenda berkenaan,” katanya.

Katanya, secara rasminya 2,451 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi sebahagian daripada keluarga baharu UMT selepas selesai Majlis Ikrar Pelajar yang berlangsung pada 5 September lalu.


KEBAJIKAN pelajar orang kelainan upaya (OKU) sentiasa diutamakan di kampus

Katanya, kebajikan penuntut menjadi taruhan utama UMT amat dititik beratkan. Selain menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas, UMT juga mengambil inisiatif untuk memastikan mahasiswa yang kurang berkemampuan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Usaha tampak kecil itu memberi impak besar kepada mahasiswa melalui Projek Gerobok Rezeki dan Art Of Kindness (AOK).

“Projek Gerobok Rezeki menyediakan barangan keperluan harian, alat tulis dan makanan. Ia disediakan kepada penuntut di gerobok atau almari yang terletak di Anjung Mutiara. Sementara Projek AOK pula menyediakan bungkusan juadah sama ada makanan pagi atau tengahari di stesen ditetapkan.

“Bantuan ini adalah hasil sumbangan staf dan pihak luar yang prihatin,” katanya.


IKRAR pelajar wajib selepas minggu orientasi tanda taat sebagai seorang mahasiswa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:18 PM