PESERTA dibimbing oleh sukarelawan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Kem Huffaz Remaja Pekak yang diadakan di Institusi Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor baru-baru ini memberi manfaat kepada 29 pesertanya.

Bertemakan Isyarat Qurani: Antara Aku dan Ilahi, kem itu anjuran Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), FAQEH Training And Consultancy dan Sekretariat Sahabat FAQEH Universiti Sains Islam Malaysia (SaF@USIM).

Peserta remaja pekak yang menyertai kem kali ketiga itu berusia antara 13 hingga 27 tahun, terdiri daripada 14 lelaki dan 15 perempuan. Mereka dilatih menghafaz al-Quran dengan pendekatan visual dan penulisan melalui kaedah penulis wahyu.

Koordinator Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Norakyairee Mohd Raus berkata, USIM bekerjasama dengan JAKIM dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dalam melatih kumpulan sukarelawan siswa USIM untuk penganjuran kem berkenaan.

“Fokus kem ini adalah menghuraikan kepentingan dan peranan orang kurang upaya (OKU) menghafaz al-Quran, membuka mata masyarakat khususnya melatih siswa pengajian Islam mendepani isu OKU beragama, selain membudayakan kehidupan bersama al-Quran tanpa mengira keterbatasan individu,” katanya.

Beliau berharap penganjuran program itu dapat dilaksanakan secara berkala dan mendapat sokongan institusi agama negeri dengan memberi ruang serta peluang kepada OKU mendalami al-Quran.

“Institusi agama negeri juga disarankan untuk bekerjasama dengan NGO (badan bukan kerajaan) OKU dan institusi pengajian tinggi dalam usaha melatih sukarelawan universiti khususnya kemahiran mendepani isu OKU beragama Islam,” katanya.


PESERTA menyalin semula ayat suci.

Ibu peserta OKU, Shahza’nny Solihin, 20, dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, Johor, Siti Subaidah Ismail berkata, walaupun tinggal jauh di selatan tanah air, ia bukan penghalang memberi peluang kepada anaknya menyertai kem itu.

“Saya terharu dan berharap program seperti ini dapat memberi peluang kepada anak saya lebih fokus mempelajari pendidikan al-Quran dan agama selain bergaul dengan kawan seangkatannya.

“Diharap anak saya dapat membantu insan sepertinya untuk mendalami dan membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Nur Athirah Umaira Meor Azhar, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa 2, Rawang melahirkan rasa seronok kerana berpeluang belajar ilmu fardu ain, selain dapat menghafaz lima surah dengan cara tersendiri.

Anak sulung daripada empat beradik itu turut menyimpan hasrat menghabiskan bacaan al-Quran dan hadir kelas mengaji empat kali seminggu bagi melancarkan bacaan.

Bapanya Meor Azhar Meor Shakri, 46, berharap program seperti dapat diteruskan secara kerap bagi memberi peluang golongan OKU belajar seperti anak normal yang lain.

Terdahulu majlis penutup dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM Dr Muhammad Yamin Ismail.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Faqeh Training and Consultancy, Muhd Nasri Suratman dan Zaharatul Sophea Mohd Amir Abas dari Yayasan Pendidikan al-Quran bagi anak istimewa Yayasan Faqeh.


PESERTA bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:01 PM