SALFRIL (tengah) bersama Asyraf (baju biru) melihat penuntut DHU membaiki enjin kereta.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mewujudkan projek kereta nasional ketiga sangat bertepatan dengan lulusan Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU) yang bersedia menyokong usaha Malaysia untuk muncul sebagai pusat global serantau, malah dunia bagi kenderaan hibrid dan elektrik.

Berdasarkan permintaan dan teknologi pada masa depan yang cenderung ke arah kenderaan mesra alam atau cekap tenaga, penuntut DHU dilengkapkan dengan kemahiran kejuruteraan automotif, berkongsi wawasan Dr Mahathir untuk mempertingkat kapasiti bidang itu dan mewujudkan ekosistem auto.

Penuntut peringkat Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal di DHU, Salfril Samad yang bakal menamatkan pengajian akhir tahun ini berkata, Malaysia perlu mencipta teknologi baharu untuk menyokong pertumbuhan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan hibrid.

Salfril yang pernah menyertai kategori terbuka di Pertandingan Kemahiran Dunia Beliau Malaysia di Kuantan, Pahang pada April lalu dan memenangi tempat kedua berkata, penuntut lulusan DHU dengan kemahiran kejuruteraan berkaitan akan membantu menyokong pertumbuhan ekosistem Malaysia dalam teknologi automotif baharu.

Lebih membanggakan, beliau adalah mahasiswa contoh yang menerima Anugerah Naib Canselor dengan purata gred terkumpul 3.96 ketika mengakhiri pengajian peringkat diploma dalam bidang Teknologi Perkhidmatan Automotif di DHU.

Menerusi DHU juga beliau berpeluang menghadiri latihan bukan saja di Proton, malah syarikat yang terbabit dalam mengeluarkan kereta jenama Mazda, Audi dan Toyota.

“Kemudahan latihan automotif di DHU antara yang sempurna dan lengkap,” katanya yang kini dilantik sebagai jurulatih kebangsaan untuk calon Pertandingan Kemahiran Dunia.

Seorang lagi penuntut DHU, Mohammad Asyraf Yusni, yang memenangi pingat emas di Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 dan mengetahui pasukan Malaysia meraih pingat gangsa dan Anugerah Negara Terbaik dalam Pertandingan Kemahiran Dunia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 2017 berkata, peluang dalam sektor automotif adalah sangat luas pada masa depan.

Oleh itu katanya, belia digalakkan mendapatkan kelulusan akademik dalam kejuruteraan automotif di DHU.

“Ini memandangkan sektor automotif berkembang pesat dengan kenderaan berteknologi canggih dan baharu memasuki pasaran pada setiap beberapa bulan dengan ciri terkini,” katanya.

Naib Canselor DHU, Prof Datuk Seri Dr Omar Osman berkata, penuntut DHU perlu menjalinkan hubungan dengan syarikat di luar kumpulan DRB-Hicom supaya mereka menjadi serba boleh dalam melihatkan perkembangan pesat teknologi sektor automotif.

“Memenangi Pertandingan Kemahiran Dunia antara bukti keberkesanan kaedah pengajaran kami dalam menyediakan teori dan kemahiran praktikal,” katanya.

Katanya, DHU bertuah kerana mendapat bantuan syarikat induk, DRB Hicom dan sokongan lebih 60 syarikat yang terbabit dalam aktiviti pengeluaran automobil, pemasangan, komponen, pengeluaran, perkhidmatan, perbankan dan hartanah.

“Ini membantu jalinan kerjasama yang baik antara universiti kami dengan industri automotif,” katanya.

Hakikat bahawa universiti berkenaan adalah ‘untuk industri dan oleh industri,’ beliau berkata, DHU menawarkan 54 kursus dalam bidang kejuruteraan, pengurusan dan teknologi perniagaan dengan jumlah penuntut yang menamatkan pengajian sehingga kini adalah 1,864 orang.

“Melalui kerjasama dengan anak syarikat DRB-Hicom, kurikulum kami sentiasa relevan dengan universiti ‘untuk Industri, oleh Industri,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu akan bergerak terus dalam membolehkan graduan DHU menjadi sebahagian warga sektor automotif yang berkembang pesat di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 12:58 PM