PENUNTUT baharu akan membaca ikrar pada majlis amanat dan lafaz ikrar.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Farah (bukan nama sebenar) gembira kerana terpilih antara puluhan ribu yang bakal bergelar mahasiswa universiti kira-kira tiga tahun lalu.

Kegembiraan Farah yang juga anak jati Selangor itu hampir terpadam apabila tiga semester pengajiannya dalam bidang perbankan di sebuah universiti awam (UA) di Melaka tidak ‘menggembirakannya.’

“Perubahan persekitaran daripada kehidupan di bandar ke kawasan yang kurang membangun menyebabkan saya mati akal.

“Saya rasa hendak berhenti belajar kerana minat semakin berkurangan dan tekanan persekitaran pula menyebabkan tidak dapat membiasakan diri.

“Lebih memburukkan keadaan apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Shah Alam itu.

Berikutan itu, Farah turut mengalami penurunan berat badan hingga 25 kilogram kerana terlalu rindu kepada keluarga selama setahun setengah pengajian di situ.

“Setiap hari saya bertahan kerana mengenangkan pengorbanan keluarga yang mahu melihat saya bergelar mahasiswa,” katanya.

Biarpun pernah berasa mahu berhenti belajar dan menyambung pengajian di tempat yang dekat dengan keluarga, Farah bersyukur kerana akhirnya dia dapat menyesuaikan diri apabila bertemu rakan yang memahami masalahnya.


KEMASUKAN penuntut baharu di semua universiti awam bermula minggu lalu.

Itu antara sebahagian rencah perjalanan di universiti sebaik terpilih menjadi siswa dan siswi.

Sesi minggu suai kenal, adalah cabaran pertama yang terpaksa ditempuhi siswa baharu. Dalam masa seminggu itu, mereka didedahkan berkenaan selok-belok dan kehidupan sebagai siswa, maklumat mengenai kursus, fakulti serta universiti.

Bagi penuntut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setara, persekitaran serta pembelajaran di peringkat universiti jauh berbeza dengan sekolah.

Peralihan daripada pendidikan menengah ke pendidikan tinggi ada kalanya memberikan satu kejutan budaya kepada mereka.

Di universiti, kelangsungan hidup adalah perkara utama yang harus menjadi pegangan mereka. Hidup di universiti perlu banyak berdikari selain semuanya dilakukan sendiri.

Tidak ada ibu dan ayah atau saudara mara yang boleh membantu kehidupan mereka di universiti. Semangat kelangsungan hidup harus tinggi dan mereka juga mesti kuat dari segi Fizikal serta mental bagi mengharungi pelbagai cabaran yang bakal hadapi.


BERJAUHAN dengan keluarga antara cabaran siswa di universiti.

Malah dalam mengharungi dunia baharu di kampus, ada kalanya emosi pelajar mudah terusik. Berjauhan dengan keluarga dan berada di tempat asing akan membuatkan mereka sentiasa terkenangkan kampung halaman.

Mengulas lanjut, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, bagi memastikan pengajian penuntut berjalan lancar, siswa perlulah bersiap sedia dari awal dengan mengenal pasti sasaran dan merangka pelan masa hadapan .

“Contohnya sasaran untuk mendapatkan gred yang cemerlang di atas 3.75, mendapat anugerah dekan dan menjadi pemimpin pelajar.

“Persediaan dari awal itu membantu penuntut untuk lebih memahami tujuan mereka ke universiti supaya tindakan dan langkah yang diambil sentiasa ke arah pencapaian sasaran ini,” katanya.


SELEPAS pendaftaran, semua keperluan diuruskan penuntut sendiri.

Katanya, masalah rindukan keluarga selalu terjadi kepada mahasiswa baru, perkara yang paling penting adalah berkongsi masalah dengan rakan sebaya, senior atau kakitangan universiti yang boleh membantu.

Katanya, pihak universiti juga menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk mendengar dan membantu sebarang permasalahan penuntut.

“Di peringkat penuntut sendiri ada jawatankuasa atau ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) yang khusus untuk menjaga kebajikan siswa dalam apa keadaan.

“Sekurang-kurangnya penuntut baharu tidak merasa keseorangan dalam menghadapi kehidupan di kampus. Penyertaan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan persatuan di kampus juga mampu membantu mengurangkan kerinduan kepada keluarga,” katanya.


MASALAH rindukan keluarga sering melanda siswa baharu.

Katanya, kehidupan di kampus sebenarnya bayangan kepada realiti masa hadapan apabila penuntut tamat pengajian dan bekerja. Ketika itu juga mereka berkemungkinan turut berjauhan dengan keluarga.

“Jadi pelajar perlu menggunakan masa di kampus untuk menyediakan diri dengan langkah, teknik dan strategi pengendalian yang boleh diperoleh hasil sesi perkongsian bersama rakan atau kaunselor dalam menghadapi kerinduan serta sebarang tekanan yang timbul di kampus,” katanya.

Jelas Dr Roslee lagi, penuntut juga tidak perlu terburu-buru mengambil keputusan berhenti, sebaik-baiknya berbincang terlebih dulu dengan pelbagai pihak terutama mentor akademik dan kaunselor kerjaya yang ada di universiti atau keluarga.

Katanya, perbincangan ini boleh mengenal pasti punca dan masalah yang dihadapi serta langkah penyelesaian sewajarnya.


KONGSI masalah dengan rakan baharu bagi mengelak tekanan di kampus.

“Kadang-kadang apabila tindakan diambil secara sendirian mungkin ada perkara yang terlepas pandang. Perbincangan terutama dengan pihak yang boleh membantu seperti kaunselor mampu memberi perspektif lebih meluas sebelum mengambil tindakan drastik seperti berhenti belajar,” katanya.

Oleh itu katanya, perkara utama bagi siswa baru ialah membuat pencarian maklumat latar belakang kampus yang bakal ditempuhi.

Katanya, maklumat dari keluarga, saudara-mara, rakan dan alumni universiti akan membantu pelajar dalam persediaan melangkah ke kampus.


SELALU bertanya dan mendapatkan nasihat daripada pihak universiti.

“Selain itu, pada minggu awal komunikasi bersama rakan, senior dan kakitangan universiti khususnya pensyarah juga boleh membantu penuntut menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.

“Seperti kata pepatah ‘malu bertanya sesat jalan’ maka kurangkan rasa malu sebaliknya rajinlah berkomunikasi, berinteraksi dan bertanya kepada pelbagai pihak di kampus yang sentiasa bersedia untuk membantu warga baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:56 PM