GEMBIRA dapat menyiapkan Jalur Gemilang.
HM Digital

Bagi 150 pelajar Management & Science University (MSU), segala cabaran bagi menyiapkan ‘The Biggest 60th Merdeka Logo Using String Art,’ dalam satu hari adalah pengalaman yang mengujakan tetapi berbaloi untuk ditempuhi.

Program anjuran Creative Art Club dengan kerjasama Jabatan Sains Media dan Grafik, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Maklumat itu membabitkan kerjasama penuntut daripada pelbagai bidang pengajian seperti Multimedia, Rekaan Grafik, Games Design and Animation serta Creative Video and Photography.

Selain bermatlamat untuk menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan 2017 yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa, program bermula jam 9 pagi dan berakhir 6 petang itu turut bertujuan memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam kalangan penuntut terutama dalam aspek kreativiti, kerjasama dan komunikasi.

Ia turut berperanan untuk memperkasakan budaya kecemerlangan peserta seterusnya melahirkan pelajar yang kompeten dan holistik.

Selain itu, dalam usaha untuk menghayati dan menghargai erti kemerdekaan, Fakulti Kejuruteraan adan Sains Maklumat melaluiJabatan Sains Media dan Grafik turut menjalankan program United People of Malaysia 2.0: Creative Merdeka Celebration Exhibition & Competition.

Program membabitkan pertandingan dan pameran ini menyaksikan penyertaan kira-kira 260 siswa MSU daripada pelbagai program pengajian.

Mereka terdiri daripada penuntut program Foundation of Visual Art, Diploma Multimedia, Diploma Rekaan Grafik, Diploma in Games Design & Animation, Ijazah Rekaan Grafik, Ijazah Fotografi dan Video Kreatif, Ijazah Media Baru dan Ijazah Multimedia Kreatif.

Ia juga adalah sebahagian daripada pendekatan pembelajaran kreatif yang diterapkan dalam kalangan penuntut MSU bagi subjek seperti Colour Theory, Rekaan Maklumat, Fotografi, Pengenalan kepada Fotografi, Ilustrasi Digital dan Ilustrasi Seni Permainan.

Bagi projek itu, mereka dikehendaki menghasilkan kerja kreatif untuk dipamerkan bertemakan sambutan kemerdekaan negara.

Selain itu antara kategori pertandingan ialah Merdeka Illustration, ‘I Love Malaysia’ Painting dan Merdeka Comic.

Program yang dijalankan itu antara inisiatif yang dirancangkan dalam menerapkan semangat cintakan negara di dalam kalangan peserta khasnya dan warga kampus amnya.

Seterusnya membolehkan mereka menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:51 PM