SEORANG peserta dibantu memperkemaskan uniform.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Seramai 106 penuntut Politeknik Zon Selatan ditauliahkan daripada pangkat prebet kepada lans koperal sempena kursus KADAR Bersepadu Politeknik Malaysia Zon Selatan bagi Siri 1/2017 di Politeknik Merlimau, Melaka baru-baru ini.

Pengarah Politeknik Zon Selatan Rashidah Mustapa berkata, majlis pentauliahan itu membabitkan peserta dari Politeknik Merlimau, Politeknik Melaka, Politeknik Port Dickson dan Politeknik Ibrahim Sultan.

“Seramai 106 siswa ini bernaung di bawah Rejimen 514, 508 dan 501 Askar Wataniah menamatkan kursus KADAR dengan jayanya, sekali gus memenuhi Kokurikulum Politeknik yang dibangunkan oleh Seketariat Askar Wataniah Politeknik Malaysia (SAWP).

“Sepanjang sebulan menjalani kursus ini, mereka mempelajari banyak perkara baharu mengenai ilmu ketenteraan dan mendalami ilmu yang sedia ada.

“Kursus ini diadakan selama sebulan iaitu tiga minggu di Politeknik Merlimau dan minggu terakhir di Lanchang untuk latihan medan”, ujarnya ketika ditemui pada majlis penutup kursus.

Sementara itu,Timbalan Komander Rejimen 514 AW Leftenan Kolonel Mohamad Qadri Abu Bakar, berkata, pada minggu pertama kursus, penuntut terbabit dalam menjayakan majlis pelancaran askar wataniah.

Katanya, mereka juga mempelajari ilmu taktik, ilmu medan perang (IMP) dan lain-lain.

“Pada minggu kedua, mereka menjalani latihan dan ujian kawad iaitu mempelajari kawad kaki, kawad senjata, kawad tongkat ordelli dan pengenalan kepada kawad setingkat.

“Pada minggu berikutnya, latihan menembak diadakan di lapang sasar 10 Brigedd PARA, Kem Terendak. Penuntut diuji dari sudut tembakan dalam empat kedudukan dari jarak 100 dan 200 meter.

“Sebenarnya banyak lagi aktiviti ketenteraan yang mereka jalani dan saya percaya suatu hari nanti bukan sahaja akan lebih berdisiplin malah bakal menjadi benteng pertahanan negara sekiranya diperlukan”, katanya.

Beberapa penuntut juga menerima anugerah iaitu kategori Kawad Terbaik, Akademik Terbaik, Penembak Terbaik dan Anugerah Keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:45 PM