BERGAMBAR kenangan selepas aktiviti tamat.

Kali pertama mendulang emas ternyata menggembirakan 25 penuntut Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila meraih pulangan RM3,200 ketika menjalankan program Kajian Lapangan Misi Mendulang Emas Secara Tradisional di Kampung Perasu, Sungai Emas, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

Program tiga hari itu memberi pendedahan teknik mengayak atau mendulang emas secara tradisional menggunakan kayu banir yang dipahat dan kuali.

Biarpun tiada pengalaman, kebanyakan penuntut langsung tidak kekok untuk mencuba berikutan keseronokan melihat butiran emas yang diperoleh.

Cubaan pertama itu bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi mahasiswa UMK, malah mereka tidak sabar mendulang sebaik sahaja tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan yang mencabar kira-kira hampir empat jam perjalanan daripada UMK Kampus Bachok ke Kampung Perasu, Gua Musang.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan FTKW Mohd Aswawi Isa, ekspedisi kajian lapangan mendulang emas secara tradisional di kawasan di Gua Musang sebagai pendedahan kepada siswa untuk mereka merasai sendiri kerja mendulang emas secara moden dan tradisional iaitu menggunakan kuali serta dulang yang dibuat daripada kayu banir.

Katanya, kaedah itu adalah warisan turun-temurun yang melalui aktiviti ini dapat memelihara dan memulihara warisan alatan tradisional di samping penerokaan kawasan penyelidikan baharu berdasarkan kajian lapangan penuntut di bawah bimbingan pensyarah untuk menganalisis serta menghurai sumber alam yang terdapat di Kelantan.

“Ternyata misi julung kali ini berjaya diadakan kerana peserta yang menyertai program selama tiga hari dua malam itu didedahkan teknik mendulang emas secara tradisional yang sebelum ini tidak pernah mereka pelajari.

“Sejak tiga hari berada di sini, kami tidak sangka dianugerahkan rezeki walaupun kali pertama mencuba dan memperoleh beberapa gram emas dengan anggaran harga sebanyak RM3,200,” katanya.

Turut menyertai program ini ialah 10 tenaga pengajar FTKW dan 10 sukarelawan dari Kelab Kembara 4x4 Kelantan.

Dalam pada itu, Mohd Aswawi, berkata, program ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada penuntut supaya dapat meningkatkan keupayaan diri untuk menggunakan seni nilai tradisional dalam reka bentuk produk dan mempunyai kesedaran mengenai nilai estetika serta sumber asli.

Katanya, kajian ini juga adalah program akademik bagi penilaian tugasan akhir pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan wakil pelajar bagi kursus CFT 1032 Rekabentuk Seni Tradisional yang bertujuan untuk membantu pelajar menganalisis , menghurai serta menilai konsep reka bentuk seni tradisional negara.

“Sepanjang program itu, pelajar diajar oleh fasilitator berpengalaman dengan cara mengesan jenis tanah yang berpotensi serta teknik melenggok dulang bagi mengasingkan logam berharga daripada batuan dan unsur lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar FTKW, Wan Nur Atikah Wan Ruslee, 21, menjadi pelajar pertama menemui emas walaupun pertama kali mencuba selepas mendapat bimbingan daripada penduduk kampung yang menjalankan aktiviti sepenuh masa mendulang emas.

“Saya amat teruja selepas beberapa minit mendulang berjaya menemui butir logam berharga itu yang dianggarkan bernilai RM50.

“Menurut pengalaman pendulang emas nilai emas saya temui ini boleh cecah RM50. Buat masa ini, saya tak bercadang untuk jual tapi nak simpan sebagai kenangan,” katanya. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:41 PM