BERPELUANG melakukan eksperimen.

Sembilan belas murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bongek (SKB), Rembau, Negeri Sembilan teruja apabil diberi peluang mengikuti Program Mentor Mentee di Kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program selama dua hari itu anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKB dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Kampung Bongek dengan kerjasama Kelab Debat USIM.

Guru Besar Hamidah Othman berkata, Program Mentor Mentee ini dilaksanakan untuk membantu dan membimbing murid SKB sebagai mentee sekali gus mengesan potensi dan keyakinan diri bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017.

"Program ini berbentuk pemindahan ilmu dari USIM yang membabitkan pensyarah dan mahasiswa kepada guru serta murid SKB melalui pelbagai program yang diatur.

"Selain itu ia juga mewujudkan perhubungan mesra antara murid, guru dan warga USIM selain melahirkan murid yang mempunyai sahsiah terpuji serta berkeyakinan," katanya.

Program itu turut mendedahkan pelajar berkenaan kemahiran pengucapan awam oleh pelajar Kokurikulum Debat Bahasa Melayu Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM.

Mereka diajar berkenaan teknik penyampaian ucapan dengan baik selain kemahiran mengusai pentas dan penonton.

Seterusnya dalam memupuk minat terhadap sains, aktiviti Science Outreach yang dikendalikan tiga guru daripada Pusat Tamhidi (Asasi) USIM ternyata menarik minat murid SKB untuk mengikuti dan menjalankan pelbagai sesi eksperimen menarik seperti ‘elephant toothpaste’, ‘feel a joule’, ‘humpty dumpty’, ‘roaring balloon’, ‘dancing flakes’ dan ‘dancing sugar’.

Ketua murid, Abang Putera Mohd Azwa, 12, menjelaskan keseluruhan pengisian yang diikuti beliau dan rakan menjadikan mereka semakin berkobarkobar serta bersemangat untuk menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

“Kami mendapat motivasi dan suntikan semangat baru untuk menghadapi UPSR pada September nanti.

“Terima kasih kepada guru mengaturkan program ini untuk kami dengan USIM. Banyak nasihat dan pesanan dikongsikan penuntut USIM yang menjadi mentor kami sepanjang program ini. Kami juga mahu pandai seperti mereka dan berazam untuk belajar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk UPSR nanti.” ujarnya.

Bagi Suffiah Azzahra Kamal, 12, pula teruja dengan eksperimen yang dilakukan kerana dapat melihat dan melakukannya sendiri.

“Eksperimen yang kami lakukan ini tidak sama dengan apa yang lakukan dan pelajari di sekolah. Ia memberi ilmu baru mengenai sains.

“Saya terhibur membuat setiap eksperimen ini kerana sebelum ini hanya berpeluang menonton dalam rancangan pendidikan di televisyen sahaja, tetapi kini melihat dan merasai sendiri. Sangat menyeronokkan,” katanya.

Majlis penutup Program Mentor Mentee ini disempurnakan Pengarah PPKI mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Dr Abdul Manan Ismail. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 4:43 AM