PESERTA mendapat bantuan daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Kedah mengenai cara menanam.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Meredah lumpur sedalam 0.5 meter seawal jam 7 pagi dengan matlamat memastikan ekosistem paya bakau kekal terjaga, tidak mematahkan semangat 44 penuntut dan tiga pensyarah Cosmopoint Sungai Petani, Kedah menjalankan khidmat sosial itu.

Program Penanaman Pokok Bakau Sempena Hari Perhutanan Sedunia kelolaan kelab Nature of Spirit (NAF’S) berusaha memulihkan kawasan bakau di pesisir pantai Alor Ibus, Kuala Kedah.

Penasihat Program Herman Falini Addriadi Noor Rose berkata, program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada penuntut berkenaan kepentingan pokok bakau sebagai salah satu ekosistem yang perlu dijaga dan dipulihara.

“Pokok bakau sangat penting kerana ia benteng kepada pesisir pantai. Pantai Alor Ibus adalah antara tempat yang pernah dilanda bencana tsunami pada 2004.

“Banyak rumah dan tanaman yang musnah akibat bencana itu. Jadi dengan adanya pokok bakau ini boleh mengurangkan tekanan gelombang lautan, sekali gus benteng ombak besar,” katanya.

Menurut Herman Falini, kebanyakan penduduk di situ menjalankan perusahaan belacan dan kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Program itu turut disertai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan pada program itu 200 anak pokok bakau ditanam sepanjang pesisir pantai itu.

“Menyedari tanggungjawab sosial ini, kami bertungkus-lumus meredah lumpur untuk menanam anak pokok bakau.

“Penduduk turut memberi kerjasama apabila turut mengambil bahagian membantu penuntut yang kebanyakan kali pertama menyertai program sebegini,” katanya.

Beliau berharap, program berkenaan dapat memupuk rasa cinta kepada alam sekitar dalam kalangan penuntut kolej dan orang awam dalam usaha menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 3:08 PM