MAJLIS Anugerah bagi penerima baisiswa Fair & Lovely Biasiswa 2016.

Seramai 40 pelajar wanita yang mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah di universiti awam (UA) dipilih sebagai penerima biasiswa Fair & Lovely berjumlah RM200,000 tahun ini.

Penganugerahan itu membabitkan penuntut dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) minimum 3.0, selain aktif dalam kokurikulum.

Pada majlis penyampaian biasiswa yang berlangsung baru-baru ini, masing-masing menerima pembiayaan RM5,000 bagi membantu menampung kos yuran pengajian dan pembelian buku.

Inisiatif yang memasuki tahun kedua itu selaras komitmen Fair & Lovely untuk mengubah dan memberi inspirasi kepada kehidupan wanita menerusi pendidikan, kecantikan serta keyakinan diri.

Pengurus Jenama Fair & Lovely, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd Callista Fernandez, berkata langkah itu sejajar peningkatan kos sara hidup kini yang menyebabkan ramai siswa berdepan masalah kewangan.

“Impian kami adalah menjadi jenama yang bukan sahaja menerajui aspek kecantikan dan keyakinan untuk wanita tetapi juga mengambil berat terhadap cita-cita serta peluang pendidikan mereka,” katanya.

Penerima dari UTHM, Nur Shafiqa Zulkefli, mengakui penganugerahan biasiswa itu dapat meringankan beban keluarga dan membantu ke arah pencapaian cita-citanya.

“Saya kini lebih bersemangat mengikuti pengajian dalam bidang diminati tanpa perlu bimbang kekangan kewangan,” katanya.

Sementara itu duta jenama Fair & Lovely, Daiyan Trisha, berkata penganugerahan biasiswa terbabit menyediakan platform untuk wanita muda melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Pendidikan memang penting kepada wanita sebagai langkah pertama untuk memenuhi impian,” kata Daiyan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 3:06 PM