KANAK-KANAK berpeluang mendapat maklumat daripada pihak universiti.
PELBAGAI maklumat mengenai badan manusia turut dipamerkan.
GEMBIRA diberi peluang memberi susu kepada lembu.
PENGUNJUNG berpeluang merasai sendiri hasil tanaman yang ada.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Sektor pelancongan pendidikan (edutourism) menjadi antara tarikan ditawarkan universiti yang menjanjikan pelbagai pengalaman menarik kepada pengunjung.

Sejak diperkenalkan pada 2015, permintaan tinggi terhadap sektor itu turut mendorong universiti menawarkan pelbagai pakej menarik menggabungkan pengalaman akademik dan santai.

Dalam usaha memperkenalkan Malaysia di mata dunia, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Tourism Malaysia melancarkan Malaysia 101 Edu-tourism Packages bagi program itu.

Setakat ini, sembilan universiti awam (UA) menawarkan 149 pakej pelancongan pendidikan melalui kerjasama bersama 20 agensi pelancongan berdaftar.

Universiti yang menawarkan 101 Pakej Edutourism ini termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pelancongan pendidikan merujuk kepada lawatan sambil belajar ke universiti atau institusi pendidikan bagi mempelajari dan menikmati suasana kampus termasuk meninjau kemudahan prasarana, lokasi menarik dan mencabar di samping menimba pengetahuan serta kemahiran di universiti yang dikunjungi.

Menyasarkan pelbagai kelompok pengunjung termasuk pelajar sekolah, orang dewasa, pelancong tempatan dan luar negara, pakej pelancongan pendidikan boleh dilaksanakan secara bebas atau formal dengan menawarkan pelbagai pakej menarik bersesuaian dengan kekuatan universiti masing-masing.

Program itu juga sekali gus dilihat membantu pihak UA untuk menjana pendapatan sendiri melalui hasil tarikan pelancongan yang disediakan.

Terbaru UPM bersama beberapa Operator Pelancongan bertukar Memorandum Persefahaman bagi program pelancongan pendidikan dikenali eDU-PARK.

Program eDU-PARK yang diperkenalkan UPM sejak 2013 menjana pendapatan sebanyak RM279,000 dengan jumlah pelawat kira-kira 70,000 orang.

Timbalan Pengarah Bahagian eDU-PARK, Putra Science Park, UPM Prof Dr Faridah Qamaruz Zaman berkata, eDU-PARK mempunyai peranan penting untuk menjerayawarakan kepakaran, teknologi dan inovasi UPM kepada masyarakat.

Katanya, terdapat lapan lokasi di dalam program pembelajaran secara pengalaman di dalam kampus UA itu.

Antara lokasi yang ditawarkan ialah Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi; Taman Konservatori, Institut Biosains; Muzium Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Muzium Anatomi Haiwan, Fakulti Perubatan Vaterinar; Ladang Tenusu Putra, Ladang Rusa dan Pusat Ekuin (Taman Pertanian Universiti).

“Di bawah program eDU-PARK, masyarakat umum sama ada di dalam atau luar negara mempunyai peluang untuk meneroka dunia akademik dan menimba pengetahuan dari pakar pelancongan pendidikan melalui aktiviti interaktif yang ditawarkan.

“Usaha ini adalah salah satu inisiatif UPM untuk berkongsi kepakaran dan fasiliti di samping mempromosikan teknologi dan inovasi UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menyumbang kepada pencapaian matlamat UPM iaitu melonjak perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat,” katanya.

Katanya, dengan tagline Play, Learn and Stay Young, program eDU-PARK menerapkan elemen pengalaman secara pembelajaran yang pelawat berpeluang mengendalikan aktiviti secara ‘hands-on’ dan berinteraksi terus dengan pakar UPM.

Katanya program eDU-PARK yang ditawarkan menjadi kesinambungan kepada pembelajaran formal di sekolah kerana ilmu yang dipelajari boleh didapati dengan kepakaran universiti.

Jelas Dr Faridah, pihaknya kini berusaha membangunkan eDU-PARK 2.0 membabitkan lima lagi lokasi yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung akan disenaraikan.

Katanya, lokasi yang dicadangkan adalah Petting Zoo, Muzium Patologi Manusia, Kem Pertanian, Makmal Transgenik dan kelas memasak di L’Apprenti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 2:59 PM