MUHAMMAD Ibrahim bermesra dengan (dari kiri) Nor Fatihah Akma, Hareneshkaran dan Amir Farish.
Fazurawati Che Lah
rencana@hmetro.com.my


Tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 terpilih menerima Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2017, biasiswa berprestij ditawarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketiga-tiga pelajar berusia 18 tahun itu ialah Amir Farish Abdullah dari Muar Johor, Nor Fatihah Akma Abd Manaf dari Ipoh, Perak dan K Hareneshkaran yang masing-masing mendapat 9A+ dalam pencapaian itu.

Penganugerahan biasiswa itu disampaikan oleh Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim di BNM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Muhammad berkata, pemberian biasiswa ini akan memberi peluang kepada penerima untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diminati di universiti terkemuka dunia tanpa dikenakan sebarang ikatan selain perlu pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian untuk berkhidmat kepada negara.

“Antara bidang pengajian yang biasa dipilih penerima biasiswa sebelum ini adalah perubatan, kejuruteraan, kajian diet, pergigian, biokimia, genetik, seni bina, psikologi dan geofizik di universiti terkemuka dunia seperti Massachusetts Institute of Technology (MIT), University of Chicago, University of Pennsylvania serta University of Cambridge,”katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2005, BNM menganugerahkan Biasiswa Kijang Emas kepada 51 pelajar dan sehingga kini 27 daripadanya berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, manakala selebihnya masih mengikuti pengajian di beberapa universiti terkemuka dunia .

Bagi pelajar Amir Farish, biasiswa itu sangat bermakna kepadanya bagi meneruskan pengajian di salah satu universiti di German dalam bidang kejuruteraan lokomotif.

Jelasnya, kesempitan hidup keluarga yang hanya bergantung kepada perniagaan masakan mi, dia berhasrat peluang pengajian dalam bidang diminati itu mengubah masa depan keluarga ke arah yang lebih baik.

“Saya berminat menjadi pakar dalam kejuruteraan lokomotif selepas kagum melihat kecanggihan pengangkutan rel ketika menjejakkan kaki kali pertama ke ibu negara pada usia 10 tahun.

“Sejak itu saya mula mengikuti setiap perkembangan pengangkutan rel di negara ini, dan saya berhasrat menjadi pakar dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Nor Fatihah Akma bakal melanjutkan pengajian dalam virologi di United Kingdom, manakala Hareneshkaran pula dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 12:46 PM