DR Muhamad Jantan (kiri) mewakili USM manakala menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BFSU yang diwakili Dr Han bertujuan mengantarabangsakan bahasa Melayu.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi kerjasama dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU) dalam satu memorandum persefaham (MoU) yang ditandatangani, baru-baru ini.

Memorandum yang dimeterai dalam majlis di Institut Pengajian Siswazah USM, Bangunan Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur itu turut bertujuan mewujudkan kerjasama antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Selain itu, ia turut membantu dalam penyelidikan, penerbitan, penterjemahan dan kesusasteraan bahasa Melayu selain berkolaborasi bagi pengajian Malaysia, Islam dan sejarah.

USM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Datuk Dr Muhamad Jantan manakala delegasi BFSU diketuai Pengerusi Majlis Pengurusan Tertingginya Profesor Dr Han Zhen.

Berucap pada majlis itu, Dr Muhamad Jantan kagum dengan program terjemahan dan interpretasi di BFSU kerana ia menjadi rujukan di universiti lain di seluruh China.

“Saya percaya memorandum ini bakal mengeratkan lagi hubungan kerjasama jaringan antarabangsa bagi kedua-dua institusi untuk jangka masa panjang.

“Melalui perjanjian ini, beberapa agenda strategik turut diadakan termasuk penawaran Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu atau Bahasa Melayu kepada pelajar jurusan bahasa Melayu di BFSU.

“USM dan BFSU juga bekerjasama menawarkan program ijazah pascasiswazah (sarjana dan doktor falsafah) dalam pelbagai bidang kemanusiaan yang diterajui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan penubuhan Institut BFSU-USM di China,” katanya.

Dr Han yang turut berucap berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat berkolaborasi bersama USM iaitu satu-satunya universiti yang mempunyai taraf Accelerated Programme for Excellence (APEX) di Malaysia.

“BFSU sentiasa mencari peluang menjalin kerjasama dengan universiti antarabangsa berteraskan matlamat utama institusi iaitu mewujudkan hubungan strategik dengan negara luar.

“BFSU menawarkan 84 program bahasa asing yang banyak melahirkan pensyarah program terjemahan dan jurubahasa UNESCO,” katanya.

Menerusi memorandum itu, USM dan BFSU turut merangka penganjuran bersama Seminar Terjemahan dan Interpretasi Antarabangsa II pada 2018 yang dijangka berlangsung di Malaysia dan Seminar Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (STBBMC) II pada 2019 yang dijangka berlangsung di China.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Dekan PPIK USM Profesor Dr Narimah Samat, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPIK Profesor Madya Dr Hasuria Che Omar, Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi PPIK Profesor Madya Dr Goh Sang Seong dan Pengarah Institut Konfusius BFSU Profesor Dr Zhang Xiaohui.

Beijing Foreign Studies University (BFSU) adalah institusi yang menawarkan program bahasa Melayu pada tahun 1961 sebagai usaha melatih rakyat China bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.

Usaha itu turut bertujuan meningkatkan keberkesanan hubungan diplomatik China dan Malaysia selain melahirkan graduan berbahasa Melayu.

Untuk rekod, China mempunyai lapan universiti yang menawarkan program Pengajian bahasa Melayu dan BSFU menjadi rujukan kepada tenaga pengajar bahasa Melayu di universiti lain seluruh China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 12:42 PM