MOU ditandatangani Dr Mohamad (tiga dari kiri) bersama Mohd Adzhar (tiga dari kanan) disaksikan Dekan Fakulti Perubatan Tradisional dan Komplementari Profesor Madya Dr Ibrahim Usman (dua dari kiri).
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Demi mengangkat perubatan tradisional Melayu ke peringkat yang lebih tinggi di negara ini, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) dengan Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA).

MoU itu ditandatangani antara Presiden CUCMS Profesor Datuk Dr Mohamad Abdul Razak dan Presiden GAPERA Mohd Adzhar Abd Latif.

Dr Mohamad, berkata memorandum itu bertujuan mewujudkan kesedaran berkenaan perubatan tradisional dan komplementari yang akan disokong dengan pendidikan dan kajian yang berkaitan seperti kesihatan, kecergasan serta sains perubatan asas.

Katanya, inisiatif ini dapat membantu meningkatkan kefahaman orang awam terhadap perubatan tradisional di samping meluaskan bidang kepakaran di Malaysia.

“Kami percaya, generasi muda kini lebih terbuka terhadap perubatan alternatif dan bukan sahaja bergantung pada perubatan moden.

“Dengan dunia tanpa sempadan hari ini, maklumat boleh didapati secara mudah dan pengamal perubatan ini juga berdaftar dengan badan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Adzhar berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Strategi Perubatan Tradisional 2014-2023 menyatakan perubatan tradisional adalah penting dan sering dipandang remeh sebagai sebahagian daripada perkhidmatan kesihatan.

“Melalui sokongan yang diberikan Kementerian Kesihatan, kami yakin negara kita akan membentuk dasar secara proaktif dan melaksanakan pelan tindakan yang menguatkan lagi peranan perubatan tradisional dalam membantu rakyat Malaysia untuk sihat,” katanya.

Majlis MoU itu selaras dengan acara Seminar Perdana Pemerkasaan Perubatan Tradisional Melayu (SEDANA) 2017 anjuran GAPERA dan CUCMS yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Helmi Yahya.

Seminar SEDANA 2017 itu memfokuskan mewujudkan ekosistem pendidikan dan menjadi platform untuk pertukaran pengetahuan dalam kalangan penyelidik, pengamal, ahli akademik dan peneraju industri dalam bidang perubatan tradisional serta komplementari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 3:40 PM