PASUKAN PBFW Alor Setar bergambaf sebelum turun berdepan PBFW Mempaga dalam aksi pembukaan Piala Pengerusi FELDA 2018 di Jengka. FOTO E-mel

JENGKA: Dua finalis musim lalu, Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Alor Setar dan PBFW Kuantan bermula perlahan apabila masing-masing sekadar meraih satu mata dalam aksi pembukaan Piala Pengerusi Felda, di sini, hari ini.

Juara bertahan PBFW Alor Setar bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Mempaga 2-2 manakala Kuantan pula gagal memanfaatkan kelebihan untuk diikat oleh PBFW Sahabat dengan jumlah jaringan yang sama.

Bagi pengurus PBFW Alor Setar, Mohd Khalil Hassan, faktor pasukan pilihan nyata memberi kesan kepada persembahan anak buahnya yang dilihat tertekan sepanjang perlawanan.

"Terus terang saya katakan, kami kali ini diperkuatkan kebanyakan pemain baru, jadi kami mengambil sedikit masa untuk menemui keserasian.

"Selain itu, saya lihat pemain juga tampak tertekan akibat daripada status sebagai juara bertahan dengan semua pasukan memberi perhatian kepada kami," katanya selepas perlawanan hari ini.

Dalam aksi tersebut dua jaringan PBFW Alor Setar dihasilkan Mohamad Nazrul Razulkarni pada minit ke-17 dan Nizar Adha Che Sobar (m-47) manakala PBFW Mempaga pula menerusi ledakan Azim Faris Shari (m-31) dan Saiful Hussin (m-34).

Sementara itu, PBFW Kuantan pula harus menyalahkan diri sendiri selepas membenarkan PBFW Sahabat bangkit mengikat aksi 2-2 meskipun terlebih dulu selesa di depan hasil dua jaringan penyerangnya Khairulazman Awang Long.

Bagaimanapun, naib juara tahun lalu itu dikecewakan jaringan penyamaan pemain PBFW Sahabat, Harmimi Saibil pada minit ke-37 dan Nurmiswari Matlin (m-52).

Saingan Piala Pengerusi FELDA 2017 membabitkan 12 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung petang esok.

Pertandingan yang disertai warga FELDA seluruh negara itu menawarkan hadiah kemenangan RM20,000 buat juara dengan naib juara membawa pulang RM15,000 diikuti tempat ketiga (RM 8,000) dan keempat (RM 5,000).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 11:25 PM