JURULATIH Monaco, Leonardo Jardim dipecat dan bakal digantikan dengan Thierry Henry. FOTO AFP
AFP

PARIS: Monaco memecat pengurus Leonardo Jardim dan Thierry Henry kekal menjadi calon utama menjadi pengendali baharu pasukan itu.

Jardim membawa skuad Principality muncul juara Ligue 1 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2016-2017 sebelum Kylian Mbappe, Bernardo Silva dan Benjamin Mendy meninggalkan pasukan itu tidak lama kemudian tetapi beliau masih mampu membawa Monaco muncul naib juara di belakang Paris Saint-Germain.

Bagaimanapun nasib tidak memihak Jardim apabila dia dipecat akibat prestasi hambar Monaco pada awal musim 2018-2019 selepas tewas lima daripada sembilan perlawanan sekaligus menghuni zon penyingkiran.

"Saya berterima kasih dan bangga menjadi pengurus Monaco selama empat tahun,” kata Jardim. “Saya telah memberikan yang terbaik dan bekerja dengan sepenuh hati.”

"Kami menang banyak kejayaan bersama dan kenangan ini akan saya simpan.”

Pengurus Besar Monaco Vadim Vasilyev berterima kasih kepada Jardim yang berjaya mengubah nasib kelab itu sehingga menjadi kelab yang dihormati di Eropah.

Monaco dijangka menamakan Henry sebagai pengganti Jardim. Henry memulakan kariernya bersama kelab itu dan menjuarai Ligue 1 pada 1997.

Dia kini pembantu Roberto Martinez di Belgium dan dikaitkan dengan Aston Villa tetapi sumber kuat menyatakan dia bakal menerima tawaran Monaco.

Martinez pula menyokong Henry menjadi pengendali di Monaco. “Thierry kini sedia mengambil alih kelab itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 10:19 PM