TRIO basikal para yang menang perak acara pecut berpasukan campuran C1-C5 yang menang perak di Sukan Para Asia Jakarat 2018. FOTO FB Erie Zuhairie
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Trio basikal para kebangsaan dianggotai Mohd Najib Turano, Zuhairie Ahmad Tazmizi dan Mohamad Yusof Shaharuddin menepati ramalan apabila menang perak acara pecut berpasukan campuran C1-C5 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, sebentar tadi.

Mohd Najib ketika dihubungi berkata, mereka berpuas hati dengan pencapaian berkenaan biarpun gagal meraih emas dalam acara itu berikutan kali pertama trio berkenaan digandingkan di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Tambahan pula, Mohd Najib berkata ,mereka hanya ketinggalan tidak sampai sesaat berbanding pelumba dari China yang merupakan trio kedua terbaik dalam ranking dunia ketika ini.

Trio basikal para kebangsaan memperoleh perak selepas mencatat masa kedua terpantas 00:00:51.937 saat di belakang pasukan China dibarisi Li Zhangyu, Wei Guoping dan Lai Shanzang yang menang emas dengan catatan 00:00:50.323s, manakala gandingan tiga pelumba tuan rumah, Habib Shaleh, Muhamad Fadli Immamuddin dan Marthin Losu menang gangsa. 

"Alhamdulillah, syukur atas kejayaan menang perak hari ini seperti ditetapkan jurulatih dan cuba memecahkan rekod terbaik kami biarpun mendapat tentangan hebat daripada trio dari negara lain terutama seperti kita tahu gandingan China menduduki ranking kedua terbaik di peringkat dunia.  

"Biarpun kalah, namun kami tetap berpuas hati kerana hanya ketinggalan kira-kira sesaat berbanding trio China yang menang emas acara pecut berpasukan campuran C1-C5 hari ini," katanya ketika dihubungi wartawan Sukan NSTP di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Zuhairie pula ketika ditemui turut melahirkan rasa syukur kerana berjaya memperoleh pingat perak selepas berusaha bersungguh-sungguh untuk menyaingi kehebatan pasukan dari negara lain.

"Syukur Alhmdulillah. Kami semua sudah buat yang terbaik tetapi apakan daya kerana sudah menjadi ketentuan Allah kami betiga akan menang perak. Saya tidak akan mengaku kalah dan akan terus berusaha untuk menghadiahkan pingat emas menerusi acara basikal trek 4km individu lelaki kategori C5 esok," katanya menerusi akaun Facebooknya di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 9:22 PM