PEMAIN tenis Serbia, Novak Djokovic. FOTO Reuters
AFP

SHANGHAI: Novak Djokovic tiada masalah membalas dendam ke atas Marco Cecchinato dengan menewaskan pemain itu 6-4, 6-0 untuk menempah tempat ke suku akhir Shanghai Masters hari ini.

Bintang Serbia itu yang juga pilihan kedua kejohanan tewas mengejut kepada pemain dari Itali itu yang menduduki ranking ke-72 dunia dalam aksi suku akhir Terbuka Perancis awal tahun ini.

Kekalahan itu sebahagian daripada kempen mengecewakan Djokovic selepas menjalani pembedahan siku pada Februari lalu.

Tetapi pemain nombor tiga itu kembali menemui prestasi sebenar dengan menjuarai Wimbledon, Cincinnati Masters dan Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain berusia 31 tahun itu yang mahu merampas ranking nombor satu dunia milik Rafael Nadal berkata dia kini makin hampir mendapat momentum yang menyaksikan dia meraih 14 gelaran Grand Slam.

Djokovic membuktikan kemampuannya dengan menewaskan Cecchinato yang juga pilihan ke-16 dalam masa kurang 70 minit dan akan menentang sama ada pemain Afrika Selatan Kevin Anderson atau pemain Greece Stefanos Tsitsipas pada aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:11 PM