PEMAIN pertahanan negara, Adam Nor Azlin. FOTO Osman Adnan
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


MELAKA: Misi pemain pertahanan negara, Adam Nor Azlin adalah meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan dalam dua aksi persahabatan Malaysia berdepan Sri Lanka malam esok dan Kyrgyzstan (16 Oktober) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Baginya, saingan amat getir untuk merampas tempat dalam kesebelasan utama, tambahan semua pemain terpilih memiliki pengalaman, kewibawaan, kebolehan dan kelebihan masing-masing.

Justeru, dia mengangggap ia satu proses sihat dan positif untuk masing-masing berusaha dan bertindak cemerlang bagi menampilkan kesungguhan, sekali gus membantu kemenangan pasukan negara pada aksi terbabit.

"Fokus kini terarah meningkatkan persefahaman, selain kecergasan dan keupayaan menyerap corak latihan dan taktikal ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk diterjemahkan pada perlawanan.

"Apa yang penting, komitmen tinggi akan dipersembah bersama rakan pasukan dan pada masa sama, masing-masing berazam meraih tempat ke saingan Piala AFF pada November depan.

"Saya tidak pasti siapa yang akan diturunkan dalam dua perlawanan antarabangsa ini, paling utama adalah bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa,"katanya pemain berasal dari Klang, Selangor itu.

Walaupun agak lama tidak beraksi, Adam nyata masih positif mampu memperoleh momentum apabila diturunkan kelak, tambahan kebanyakan rakan sepasukan sudah biasa bekerjasama dengannya di gelanggang pertarungan.

Pemain skuad bawah 23 kebangsaan berusia 22 tahun itu dilihat aset berharga buat skuad masa depan negara dengan sentuhannya bersama skuad Cheng Hoe mampu memperkasakan benteng kukuh menerusi penampilannya dalam banyak pasukan termasuk Harimau Muda B, A, Selangor dan terkini, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:00 PM