Peng Soon mahu rakan sepasukan bukti kemampuan. FOTO fail HM Digital
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon menyeru rakan sepasukan supaya membuktikan kemampuan masing-masing dalam kejohanan antarabangsa yang disertai walaupun tanpa jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei.

Menurutnya, semua pemain harus beraksi dengan cemerlang untuk memberitahu kepada dunia bahawa arena badminton negara masih lagi bernafas walaupun mendapat khabar kurang gembira mengenai tahap kesihatan Chong Wei.

"Sekarang kita punya 'taiko' tidak dapat beraksi dan saya harap pemain lain akan ambil peluang ini untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.

Ia dapat membuktikan bahawa Malaysia masih boleh mencapai keputusan yang baik pada situasi sekarang," katanya kepada media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Kelab Badminton Ampang Jaya, hari ini.

Chong Wei yang menjalani rawatan lebih dua bulan di Taiwan selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal kembali ke Malaysia Ahad lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu bagaimanapun mengelak daripada bertemu media tetapi menghantar pesanan suara kepada Sukan NSTP meminta untuk memberikan ruang kepadanya untuk berehat.

Ditanya mengenai sasaran untuk berada dalam lingkungan lima terbaik dunia bagi tempoh baki musim ini, Peng Soon mengakui dia tidak memikirkan perkara berkenaan.

"Sekarang saya tidak fikirkan mengenai kedudukan ranking dunia. Paling penting pergi di mana-mana kejohanan berikan persembahan terbaik.

"Apabila memperoleh keputusan yang baik secara automatik ranking akan naik," katanya yang bergandingan bersama Goh Liu Ying dan sekarang ini menghuni ranking ketujuh dunia.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan beraksi di Terbuka Denmark yang bermula minggu depan dan bakal menentang pasangan Belanda, Jacco Arends-Selena Piek di pusingan pertama.

Selepas itu, mereka akan mengambil bahagian pada Terbuka Perancis (23-28 Oktober) dan bakal berdepan Robin Tabeling-Cheryl Seinen dari Belanda di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 6:37 PM