HAMIDIN simpati dengan keadaan Chong Wei. FOTO/FAIL
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


PERKHABARAN tentang kesihatan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang disahkan mengalami kanser hidung turut mendapat simpati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, selepas mengetahui penyakit dialami Chong Wei itu, beliau sendiri terus menghubungi Presiden Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kesihatan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Katanya, seluruh warga sukan khususnya bola sepak turut merasai kesedihan dan beliau berharap agar Chong Wei tabah menghadapi dugaan ini.

"Apabila dapat tahu mengenai Datuk Lee Chong Wei, saya terus menghubungi Presiden BAM, Datuk Norza dan menyatakan rasa (sedih) terhadap berita itu. Kita tahu Chong Wei adalah 'legend' negara. 

"Dia sudah menyumbangkan begitu banyak jasa kepada negara. Kalau kita tahu macam mana cara latihannya dari awal mula dia naik, banyak pengorbanan dari segi masa dan usianya untuk jadi pemain terbaik dunia serta mengharumkan nama Malaysia.

"Saya berharap rakyat Malaysia juga mendoakan agar Chong Wei akan cepat sembuh," katanya ketika ditemui pada Seminar Pembangunan Bolasepak Belia 'The Modern Trends In Youth Development' anjuran Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), di sini, hari ini.

Perkembangan Chong Wei juga turut menarik perhatian ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee yang mahu semua pihak mendoakan kesihatan ikon badminton Malaysia itu.

"Apa yang mustahak, semua pihak perlu menghormati privasinya dan berharap dia dapat sembuh kembali. Kesihatan dia harus diutamakan dan dalam masa sama saya harap Chong Wei akan kembali sembuh seperti biasa," kata Kim Swee.

Pada Sabtu lalu, BAM mengesahkan pemain badminton kelahiran Pulau Pinang itu menghidap kanser hidung peringkat awal.

Difahamkan, Chong Wei mengalami masalah pernafasan selepas pulang daripada Kejohanan Siri Jelajah Dunia Terbuka Indonesia yang menyebabkan dirinya terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan.

Ketika ini, dia sedang menjalani rawatan di Taiwan dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 4:06 PM