ALCACER ketika sumbat gol pertama. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Penyerang pinjaman dari Barcelona, Paco Alcacer menyumbat gol dalam penampilan sulungnya untuk membolehkan pasukan baharunya Borussia Dortmund menjinakkan Eintracht Frankfurt 3-1, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 24 tahun itu masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan selesa selepas gol daripada Abdou Diallo dan Marius Wolf melonjakkan Dortmund ke persada Bundesliga dengan tujuh mata.

Namun kedudukan itu mungkin kekal sementara tatkala Bayern Munich, Wolfsburg dan Hertha Berlin sekadar ketinggalan satu mata di belakang dan hanya akan beraksi malam ini.

Jaringan sagu hati Eintracht hadir pada minit ke-68 menerusi percubaan voli Sebastian Haller.

Sementara itu, Robert Lewandowski akan meraikan penampilan ke-200 dengan peledak berbisa Poland itu dijangka meneruskan rentak jaringan apabila Bayern menerima kunjungan Bayer Leverkusen, malam ini.

RB Leipzig yang sekadar memungut satu mata daripada dua perlawanan pertama akan menerima kunjungan Hanover.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 7:58 AM