PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho (kiri) bersama Marcus Rashford. FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyalahkan media susulan isu membabitkan penyerang England, Marcus Rashford yang dituduh penampilannya di Old Trafford dihadkan.

Penyerang berusia 20 tahun itu tampil dengan prestasi terpuji bersama skuad Three Lions pada aksi antarabangsa apabila dia disenaraikan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol ketika bertemu Sepanyol dan Switzerland.

Ia membawa kepada persoalan adakah Mourinho menggunakan sepenuhnya kemampuan Rashford yang bergelut untuk meraih kesebelasan utama di United, berikutan persaingan hebat daripada Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Anthony Martial.

Rashford akan disisihkan ketika United membuat kunjungan ke Watford, awal pagi Ahad ini apabila memulakan hukuman penggantungan tiga perlawanan, selepas dilayangkan kad merah ketika aksi bertemu Burnley sebelum rehat antarabangsa.

“Saya fikir saya boleh menjangkakan pada Ahad nanti saya akan dikritik hebat kerana tidak menyenaraikannya esok, kerana sesetengah kamu amat obses dengan saya, dan sesetengah daripadanya saya fikir mereka mempunyai masalah suka berbohong,” kata Mourinho.

Pengendali dari Portugal itu turut menunjukkan statistik membabitkan Rashford yang membuat 105 penampilan sejak kehadirannya di United dua musim lalu dan menegaskan pengurus lain turut perlu disoal atas isu sama.

“Marcus Rashford bukan (penyerang Liverpool) Dominic Solanke, dia bukan (pemain tengah Chelsea) Ruben Loftus-Cheek, dia juga bukan (Penyerang Everton) Dominic Calvert-Lewin.

“Dia adalah Marcus Rashford, pemain Manchester United, dengan jumlah penampilan yang menakjubkan, dan jumlah minit bermain yang mengagumkan di kejohanan terbaik dan di tahap paling tinggi.”

Mourinho sebelum ini dikritik hebat selepas kekalahan kepada Brighton dan Tottenham yang menyaksikan Red Devils ketinggalan jauh di belakang pencabarnya Liverpool, Chelsea, Spurs dan Manchester City.

Sekali pun mencatat kemenangan ke atas Burnley sebelum mengharungi rehat antarabangsa selama dua minggu, ia tidak dapat mengurangkan tekanan Mourinho dengan sasarannya terus kepada pihak media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:56 PM