ATLET Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri ketika mengangkat bebanan Kategori 48 KG Clean and Jerk pada acara angkat berat Sukan Malaysia. FOTO Bernama
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat
sukanteam@nstp.com.my


TAPAH: Biarpun pada awalnya, keluarga menghalang niat untuk aktif dalam sukan angkat berat, atlet angkat berat wanita Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri membuktikan pilihannya itu adalah tepat apabila menghasilkan pingat emas pada hari pertama angkat berat dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, hari ini.

Bertubuh kecil molek dan kelihatan ayu bertudung, Nurul Afiqah yang berumur 18 tahun melakukan angkatan 81 kilogram (kg) bagi mengungguli kategori 48 kg, clean and jerk wanita yang dipertandingkan di Dewan Merdeka, Tapah di sini.

Atlet Sabah, Nilcy Tunik pula meraih perak selepas hanya dibezakan angkatan satu kg (80 kg) berbanding Nurul Afiqah, manakala Siti Zaleha Yusop dari Pahang membawa pulang gangsa (75kg).

"Keluarga tak berapa suka dengan keputusan saya untuk menyertai sukan angkat berat. Mereka kata 'tak molek' (tak elok) untuk perempuan menyertai sukan angkat berat.

"Saya bermula empat tahun lalu dalam sukan ini, namun hanya selepas saya memenangi satu pingat perak (48kg clean and jerk) pada temasya dua tahun lalu, barulah keluarga saya mula yakin dengan bakat yang saya ada dalam sukan ini," katanya yang berasal dari Teluk Ketapang, Terengganu itu.

Ketika berkongsi detik bagaimana diajatuh cinta kepada sukan angkat berat, Nurul Afiqah berkata, minat itu mula berputik selepas melihat ramai kawan-kawannya aktif dalam sukan berkenaan.

"Jurulatih saya, Mohd Azmir A Rahman juga memainkan peranan utama dalam mengasah bakat dan membentuk saya sejak awal sehinggalah sekarang," katanya.

Terdahulu, Nurul Afiqah memenangi pingat gangsa dalam acara snatch dengan melakukan angkatan 60kg, biarpun rekod catatan peribadi terbaiknya adalah 62kg.

Emas 48kg snatch wanita itu dimenangi atlet Pahang, Siti Zaleha Yusop dengan catatan 62kg sementara Nur Syafiqah Athirah Zaridi dari Perak merangkul perak (61kg).

"Saya akui saya sebenarnya gementar dalam acara snatch tadi. Namun saya dapat tebus kesilapan itu dalam clean and jerk. Saya haraplah saya akan kekalkan prestasi yang lebih baik pada temasya akan datang," katanya.

INFO

Nama: Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri

Umur: 18 tahun

Tarikh lahir: 18 Ogos 2000

Kontinjen: Terengganu

Sukan: Angkat berat (kategori 48kg)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 7:28 PM