PEMAIN Sabah Ariusdius Jais (kanan) cuba melepasi kawalan pemain pasukan Pulau Pinang, Mohammad Asyraf Rojani pada perlawanan bola sepak SUKMA. FOTO/BERNAMA
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


SABAH dan Melaka menjadi dua pasukan terakhir yang mara ke suku akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) sekali gus menyertai enam lagi pasukan yang masih bersaing untuk memburu pingat emas dalam acara itu yang dianggap ibu segala pingat.

Kedua-dua pasukan itu berada dalam Kumpulan C bersama satu lagi pasukan iaitu Pulau Pinang yang berentap di Padang Sintetik Parit Buntar.

Sabah seri 1-1 dengan Pulau Pinang malam tadi untuk membolehkan Sabah dan Melaka mara.

Agak menarik dengan apa yang berlaku dalam kumpulan ini kerana ketiga-tiga pasukan mengharungi cabaran tanpa sebarang kemenangan atau kekalahan.

Masing-masing hanya mengutip dua mata tetapi Sabah dan Melaka muncul juara dan naib juara berdasarkan kelebihan jaringan.

Di peringkat suku akhir yang akan diadakan esok, Melaka akan menentang juara Kumpulan D, Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sementara Sabah pula melayan naib juara Kumpulan D iaitu Pahang di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Kedua-dua perlawanan berlangsung serentak pada jam 4.15 petang.

Dua lagi perlawanan suku akhir berlangsung jam 8.45 malam dengan juara bertahan iaitu Perak akan bertemu naib juara Kumpulan B, Wilayah Persekutuan di Stadium MPM, manakala Perlis yang muncul naib juara Kumpulan A berhadapan juara  Kumpulan B, Terengganu di Stadium TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 4:53 PM