AISYAH (tengah) bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara berbasikal Lebuhraya Lepas beramai-ramai wanita 100.4 Kilometer dengan catatan masa 3 jam 00.41 saat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak ke-19 di Dataran Warisan Taiping hari ini. FOTO/BERNAMA
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly 
sukanteam@nstp.com.my

KAYUHAN mantap pelumba basikal Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir nyata sukar ditandingi apabila merangkul emas kedua pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak kali ini. 

Selepas membuktikan kehebatan mempertahankan emas dalam acara ujian masa buat kali ketiga berturut-turut di SUKMA, hari ini Aisyah bijak mengatur strategi untuk menguasai acara lebuh raya wanita apabila meraih emas dengan catatan masa 3 jam 40 saat. 

Dalam aksi perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) yang bermula di Arena Square Batu Kurau itu, Aisyah menewaskan wakil Sarawak, Nur Azrenna Ahmad Jumry yang meraih perak (3:00:41s) dan Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli di kedudukan ketiga (3:00:41s).

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi saya hari ini kerana berjaya mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu. Saya berusaha keras untuk SUKMA dan berlatih sejak setahun setengah yang lalu.

"Dengan apa yang saya buktikan di SUKMA kali ini, saya harap akan dipilih untuk mewaki negara di Sukan SEA Filipina tahun depan dalam acara ujian masa, jika ia dipertandingkan disana," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana banyak membantu perkembangan kariernya.

 

Mula terbabit dengan sukan basikal sejak dari sekolah dan bergiat aktif pada usia 16 tahun, Aisyah menegaskan, misinya masih belum selesai.

Jika dua tahun lalu, dia hanya menyumbangkan lima emas buat kontinjen Terengganu, kali ini Aisyah mahu memburu tujuh emas keseluruhan apabila turut disenaraikan dalam acara trek iaitu keirin dan scratch.

Esok, Aisyah sekali lagi akan turun bersama Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shairul Hisham, Nurul Najihan Inani Abdul Aziz dan Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli untuk memburu emas seterusnya dalam acara kriterium di Taman Tasik Taiping. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 4:49 PM