PENG Soon-Liu Ying tak gentar reputasi lawan. FOTO/FAIL
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak gentar dengan reputasi lawan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong apabila kedua-dua pasangan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir Terbuka Jepun, esok.

Di atas kertas, Siwei-Yaqiong memiliki reputasi gah apabila hadir di Tokyo sebagai pilihan pertama, selain memegang status juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Bagaimanapun, Peng Soon-Liu Ying tetap ada kelebihan apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia itu ketika saingan Terbuka Indonesia, Julai lalu.

“Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami. Siwei-Yaqiong adalah juara dunia dan juara Sukan Asia, jadi tahap keyakinan mereka pastinya lebih tinggi sekarang.

“Namun, kami pernah menang ke atas mereka sebelum ini (ketika Terbuka Indonesia), jadi kami harap boleh tampil dengan prestasi terbaik dan menang ke atas mereka sekali lagi,” kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mara ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 20-22, 21-17, manakala Siwei-Yaqiong menewaskan rakan senegara, Zhang Nan-Li Yinhui 21-10, 21-13 dalam aksi suku akhir, hari ini.

Kemenangan Peng Soon-Liu Ying ke atas Praveen-Melati menyaksikan mereka berjaya melunaskan dendam susulan kekalahan dalam dua pertemuan sebelum ini di Terbuk Jerman, Mac lalu dan Terbuka India (Januari lalu).

“Jurulatih (Chin Eei Hui dan Paulus Firman) yang duduk di belakang kami banyak membantu. Strategi yang mereka beri nyata berkesan untuk kami dalam perlawanan hari ini,” kata Peng Soon.

Sementara itu, nasib berbeza dialami satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Soon Huat-Shevon yang juga juara Terbuka Singapura tewas 17-21, 6-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 3:44 PM