AHMAD gesa KBS, ISN, MSN kaji perkara ini sehabis baik demi masa depan sukan sepak takraw. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mempersoalkan cadangan menggugurkan sukan sepak takraw daripada Program Podium kerana ia dianggap sebagai 'bentuk imbuhan' yang menyedihkan buat barisan pemainnya.

Jelas Ahmad Ismail, ia bukan bentuk imbuhan dinanti-nantikan 12 pemain negara yang berada dalam program berusia dua tahun itu selepas berjaya menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas menerusi acara regu di Sukan Asia 2018, baru-baru ini.

"Adakah ini cara pemain diberi imbuhan selepas berjaya memenangi pingat emas di Sukan Asia sekali gus mengatasi sasaran awal yang ditetapkan.

"Mereka berhempas pulas untuk memenangi emas selepas ditaburkan janji untuk terus dikekalkan dalam Program Podium jika mencapainya.

"Amat mengecewakan untuk menggugurkan sesetengah sukan dalam program baru ditubuhkan ini dan pada pendapat saya cadangan ini dibuat terburu-buru," katanya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali yang berpendapat atlet yang bukan dalam senarai sukan dipertandingkan pada Olimpik Tokyo 2020 kemungkinan besar akan digugurkan daripada Program Podium.

Sebagai rekod, seramai 148 atlet kini berada dalam Program Podium.

Antara atlet dijangka digugurkan adalah daripada sukan seperti skuasy, sepak takraw, boling dan silat yang tidak dipertandingkan pada Olimpik.

Tambah Ahmad Ismail, pihaknya begitu berharap untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengkaji perkara ini sehabis baik demi masa depan sukan sepak takraw.

"Saya harap mereka akan terus pertimbangkan sepak takraw dalam Program Podium kerana ia satu program yang baik dan kita tidak dapat nafikan program ini turut memainkan peranan berkesan dalam membantu skuad regu negara menamatkan kemarau pingat emas 24 tahun di Sukan Asia.

"Malah, kalau kita lihat hanya beberapa sukan yang layak ke Sukan Olimpik. Tidak salah untuk kita menyiapkan atlet dari awal untuk menghadapi temasya Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 3:18 PM