AKSI Sarawak ketika menentang dalam aksi Piala Malaysia. -Foto TFCII ROZAINAH ZAKARIA
Faizul Azlan Razak
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Kemelut kewangan yang melanda skuad Sarawak kian parah apabila pemainnya terpaksa ‘mengikat perut’ selepas hampir empat bulan tidak dibayar gaji.

Malah campur tangan pihak tertentu yang tidak selesa dengan pembaharuan dilakukan ketua jurulatih menyebabkan pasukan itu kini terus dihimpit dengan masalah dalaman.

Terbaru keengganan beberapa tonggak termasuk awang import tidak mahu ‘turun padang’ akibat masalah tunggakan gaji menyaksikan persiapan Sarawak terjejas dalam mengharungi saingan Piala Cabaran edisi sulung itu.

Malah, kunjungan skuad yang terkenal dengan julukan Bujang Senang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC II (TFCII), pada Rabu lalu membuktikan segalanya apabila hanya 13 pemain disenaraikan dalam skuad itu.

Kemelut yang berlaku itu didedahkan sendiri pengendali kelahiran Scotland, lan Gillan yang jelas kecewa kerana menjejaskan perancangannya membentuk skuad terbaik.

“Isu tunggakan gaji menghimpit Sarawak menyebabkan ramai pemain import dan tempatan tawar hati meneruskan perjuangan mereka bersama pasukan.

“Pasukan tidak dibayar gaji selama tiga bulan, malah ada sebahagian pemain tidak menerima gaji sejak empat bulan lalu dan perkara ini menjejaskan persiapan untuk membentuk pasukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Gillan mendakwa sejak kehadirannya di Bumi Kenyalang pada hujung tahun lalu, ada pihak tidak suka dengan pembaharuan cuba dilakukan.

“Sepatutnya mereka bersama saya untuk pembangunan bola sepak di Sarawak dan bukannya menghancurkan usaha untuk memartabat sukan nombor satu di negara ini,” katanya yang pernah menjadi penolong jurulatih Kedah pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:56 PM