PEMAIN Malaysia, Fazilla Sylvester Silin (tengah). FOTO Owee Ah Chun
Jugjet Singh
jugjet@nstp.com.my


PEMAIN tengah skuad hoki wanita negara, Fazilla Sylvester Silin melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menamatkan kursus pentauliahan penguasa bomba dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Pemain berusia 30 tahun dari Sarawak itu sudah beraksi dalam tiga edisi Sukan Komanwel (2010, 2014 dan 2018) dan pencapaiannya itu turut mendapat pujian pengendali Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah.

"Dia adalah pemain menakjubkan yang mempunyai semangat juang tinggi. Saya amat terkejut dan bangga atas kejayaannya meraih satu lagi pencapaian hebat dalam kehidupannya," kata Dhaarma selepas pasukannya tumbang 3-2 kepada India dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan, sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala, berkata: "Pasukan hoki wanita negara mempunyai pemain yang istimewa dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri! Salah seorang daripadanya sudah tentu Fazilla Sylvester yang lebih dikenali sebagai Zilla.

"Banyak pengorbanan dibuatnya untuk negara, dan terima kasih kepada JBPM yang sentiasa menyokong kariernya dan memberi pelepasan untuk Zilla mewakili Malaysia di Sukan Komanwel, baru-baru ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:47 PM