PEMAIN Selangor Evan Dimas Darmono (tengah) diasak pemain Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Rosdan Wahid
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


BERAKSI dalam perlawanan kompetitif yang berlangsung pada Ramadan diyakini tidak akan menjejaskan prestasi pemain import Selangor, Evan Dimas.

Menurut pemain kelahiran Indonesia yang diberi julukan 'Anak Ajaib' itu, dia percaya tidak akan berdepan masalah beraksi kerana situasi itu bukanlah perkara baharu kepadanya.

"Bermain pada Ramadan bukan satu perkara yang janggal buat saya kerana semasa bersama Bhayangkara FC musim lalu, aksi liga tetap berlangsung pada Ramadan.

"Jadi, berbekalkan pengalaman sama, saya optimis dapat mengekalkan prestasi dan kecergasan supaya sentiasa berada pada tahap yang terbaik sekali gus membantu pasukan melakar kemenangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, dia mengakui memperoleh pengalaman baharu apabila berpuasa di perantauan buat pertama kali sambil menantikan peluang untuk bersahur dan berbuka bersama rakan sepasukan.

"Saya bersyukur mendapat pengalaman berpuasa sebagai seorang perantauan. Saya hanya bersahur berseorangan awal pagi tadi.

"Mungkin selepas ini saya akan mendapat peluang bersahur bersama rakan sepasukan apabila beraksi tempat lawan pula," katanya.

Aksi Liga Super musim ini tetap berjalan sepanjang Ramadan yang menyaksikan skuad bimbingan Nazliazmi Nasir itu akan beraksi dalam lima perlawanan dengan tiga daripadanya berlangsung di laman sendiri.

Selangor akan bertemu PKNP FC di laman lawan pada 23 Mei sebelum tiga aksi berturut-turut di laman sendiri menentang Kedah (26 Mei), disusuli Kelantan (1 Jun) dan PKNS FC (6 Jun) sebelum aksi terakhir  menentang PKNS FC sekali lagi di laman lawan (10 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:51 PM