JURULATIH Felda United, B Sathianathan akui meminati corak permainan bekas kapten Kelantan itu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


“SAYA mahu Piya tapi tak mampu,” kata jurulatih FELDA United, B Sathianathan mengenai hasrat pemain itu mahu menyertai pasukan kendaliannya selepas diketepikan Kelantan.

Sathia mengakui Piya atau Badhri Radzi menghubunginya secara peribadi untuk menawarkan khidmat kepada FELDA, namun selepas berbincang dengan pengurusan, beliau terpaksa menolak hasrat pemain itu.

“Piya memang seorang pemain yang bagus serta sesuai dengan perancangan saya. Dia masih mampu memberi sumbangan dan saya memang mahukan pemain seperti dia.

“Tapi, saya terpaksa melupakan hasrat itu kerana kekangan bajet yang FELDA hadapi musim ini. Lagipun skuad kami sudah ada 25 pemain, ia sudah lengkap. Sebarang rombakan pasti akan melibatkan kos tambahan,” jelas Sathia.

Jawapan diberikan Sathia itu sudah pasti mengecewakan Piya yang memang berharap untuk menyertai The Fighters selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh The Red Warriors.

Apatah lagi, selepas seminggu pintu perpindahan kedua dibuka sejak 7 Mei lalu, Piya mengakui belum ada pasukan yang melamarnya.

Jika keadaan ini berterusan sehingga musim perpindahan berakhir pada 3 Jun, sudah pasti bekas kapten Kelantan itu akan menghabiskan baki musim ini tanpa pasukan.

Sementara itu, Sathia berharap anak buahnya mengambil pengajaran daripada kekalahan 0-3 kepada MIFA, hujung minggu lalu yang sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah FELDA musim ini.

“Kesilapan kami adalah pemain sudah berasa selesa dengan kedudukan FELDA yang tidak pernah kalah sebelum ini sehingga mereka mengambil mudah terutama pada awal perlawanan.

“Hanya selepas ketinggalan 0-2, baru mereka tersedar dan cuba bangkit namun sudah terlambat kerana MIFA memperoleh keyakinan serta bermain bermati-matian untuk mencipta rekod sebagai pasukan pertama mengalahkan kami musim ini.

“Ia adalah prestasi terburuk FELDA setakat ini. Saya berharap ia kekalahan pertama dan terakhir.

“Pemain perlu belajar daripada kesilapan itu serta perlu mempunyai sikap menghormati setiap lawan kami,” ujar Sathia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:39 PM