PEMAIN pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold (kanan) menerima berita gembira dari pengurusnya, Juergen Klopp sebelum skuad The Reds menaiki kapal terbang. FOTO Agensi
Reuters

PERTAHANAN Liverpool Trent Alexander-Arnold berkata pengurus kelab Juergen Klopp mengejutkannya dengan berita mengenai kemasukannya ke dalam senarai 23 pemain England ke Piala Dunia.

Pemain berusia 19 tahun itu cemerlang dalam aksi sulungnya bersama Liverpool, menyertai sembilan perlawanan Liga Juara-Juara termasuk menewaskan Manchester City pada suku akhir dan kemenangan separuh akhir ke atas AS Roma, begitu juga 19 perlawanan liga.

“Saya baru dapat tahu pagi tadi, sebelum kami ke Marbella. Pengurus datang dan bercakap kepada saya sebelum kami menaiki kapal terbang,” kata Alexander-Arnold, yang ketika ini berada di kem latihan di Sepanyol memberitahu laman web Liverpool.

“Beliau bertanya kepada saya sama ada saya tahu apa-apa mengenai skuad England. Saya berkata ‘tidak’ dan beliau berkata, ‘Adakah anda merancang apa-apa sewaktu Piala Dunia?’ Saya berkata, ‘Tidak, saya tidak merancang untuk bercuti atau apa-apa lagi.’

“Beliau berkata kepada saya, ‘OK bagus... Anda di dalam skuad!’ Ia saat yang cukup membanggakan. Saya berbangga apabila England memberitahu berita gembira itu menerusi pengurus.”

Klopp yang memberikan Alexander-Arnold penampilan sulungnya di Liverpool pada 2016, turut berbangga dengan remaja berkenaan dan berkata panggilan itu adalah cara terbaik untuk menyempurnakan musim yang istimewa.

“Gareth Southgate menghubungi saya pagi tadi dan memberitahu saya boleh memberitahunya mengenai perkara itu,” kata Klopp.

“Jadi di dalam bas sebelum menaiki kapal terbang, saya melihat Trent dan diberikan penghormatan untuk memberitahunya. Seronok dapat melihat reaksinya. Ia luar biasa, dia berhak mendapatkannya. Musim yang hebat!

“Ia menjadikan musim ini lebih istimewa biarpun sebelum perlawanan terakhir.”

Liverpool kini memburu gelaran Eropah pertama sejak 2005 apabila berdepan juara bertahan dan pemenang 12 kali Liga-Juara Real Madrid pada final Liga Juara-Juara di Kiev 26 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:41 PM