KETIGA-tiga atlet berkenaan di bawah program pelapis. FOTO/FAIL
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


SUKAN angkat berat negara terus dipalit kontroversi dan tercemar apabila Persekutuan Angkat berat Antarabangsa (IWF) mengesahkan tiga lagi atlet angkat berat Malaysia didapati positif ujian doping.

Berdasarkan laporan yang disiarkan di laman web rasmi IWF, tiga atlet yang disiasat dan diuji positif bagi sampel A ialah Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

Ujian air kencing yang dijalankan terhadap mereka dilakukan secara rambang oleh IWF pada 28 Mac lalu dan disahkan positif dadah jenis Stanozolol.

Pemangku Setiausaha Persatuan Angkat Berat Malaysia, Abu Hanapah Ismail dalam satu sidang media di sini mengesahkan mengenai perkara itu.

“PABM dimaklumkan mereka didapati positif dadah pada 11 Mei lalu. Saya dimaklumkan mereka mahu mencabar sampel B dan ujian akan dijalankan di Cologne, Jerman.

“Keputusan itu akan diketahui dalam tempoh 10 hingga 14 hari daripada tarikh keputusan itu dimaklumkan kepada saya iaitu semalam dan ketika ini, semua atlet ini digantung sementara,” katanya yang memaklumkan ketiga-tiga atlet berkenaan di bawah program pelapis.

Jika didapati bersalah, ketiga-tiga atlet berkenaan berdepan hukuman penggantungan maksimum empat tahun untuk kesalahan kali pertama, selari dengan garis panduan ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Awal bulan lalu, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad turut didapati positif doping sekali gus pingat yang diraihnya akan ditarik balik.

Pada perkembangan sama, Hanapah memaklumkan selepas ujian sampel B diumumkan, ketiga-tiga atlet berkenaan akan dipanggil untuk pendengaran kes.

“Pada sesi pendengaran kes, saya berharap mereka akan menceritakan secara terperinci bagaimana dadah berkenaan boleh berada dalam badan mereka kerana sekarang ini memang mudah didapati dan boleh dibeli secara atas talian.

“Persatuan juga perlu tahu sama ada mereka mengambil bahan itu secara berterusan atau sebaliknya,” katanya.

Untuk rekod ia adalah kes keempat tahun ini membabitkan atlet angkat berat dengan PABM turut berdepan situasi penggantungan daripada IWF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:56 PM