PRESIDEN AFA meminta maaf susulan penerbitan manual Piala Dunia yang turut menyelitkan nasihat bagaimana mahu memikat wanita Russia. FOTO/FAIL
Reuters

BUENOS AIRES: Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) meminta maaf susulan penerbitan manual Piala Dunia yang turut menyelitkan nasihat bagaimana mahu memikat wanita Russia.

Nasihat berkenaan yang dikatakan berbaur seksis, adalah sebahagian daripada kursus bertajuk ‘Bahasa dan Budaya Russia - Memikirkan Piala Dunia’ dan mengandungi tip, ‘Sentiasa bersih, jangan bersikap negatif dan jangan melayan wanita seperti objek.’

“Satu siasatan dalaman mengesahkan apa yang terkandung dalam bahan berkenaan tersilap cetak. Ia tidak menggambarkan pemikiran Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) atau presidennya Claudio Tapia, atau mana-mana pengarahnya,” jelas persatuan itu dalam satu kenyataan.

Tapia melawat Russia House, sebuah institut budaya di Buenos Aires hari ini untuk meminta maaf secara peribadi berhubung kesilapan itu.

Laporan berita berkata maklumat itu diberikan kepada pemain, kakitangan AFA dan media awal minggu ini dalam sebuah forum khas bagaimana untuk bersiap sedia ke Piala Dunia.

Lebih 40,000 penyokong Argentina membeli tiket untuk perlawanan kejohanan berkenaan yang bermula di Moscow, 14 Jun ini.

Argentina, dua kali menjuarai Piala Dunia diundi menentang Iceland, Nigeria dan Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:36 PM