PHIL JONES
Reuters

PERTAHANAN Manchester United, Phil Jones percaya kejayaan menjulang Piala FA, Ahad ini  akan meningkatkan semangat The Red Devils bagi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan.

Selepas mengakhiri kempen musim ini dengan ketinggalan 19 mata di belakang Manchester City yang dikendalikan Pep Guardiola, United bersedia untuk merampas satu-satunya trofi yang masih ditawarkan musim ini apabila bertemu Chelsea pada pentas final Piala FA di Stadium Wembley.

“Ia akan menjadi perlawanan terakhir kami musim ini, jika kami memenanginya, kami menamatkannya dengan nota yang positif dan akan menghadapi musim depan dengan perasaan yang yakin, bersedia untuk bergerak ke depan, berjuang sekali lagi untuk kejuaraan,” kata Jones.

“Saya langsung tidak percaya yang kami terlalu jauh. Pada musim yang lain, kami mungkin mampu mencabarnya. Kadangkala kamu perlu mengangkat tangan dan berkata Man City sudah bermain dengan amat baik untuk menjuarai liga musim ini.

“Mereka bermain dengan amat baik dalam setiap perlawanan dan menang perlawanan yang kamu fikir mungkin mereka hanya mampu seri. Saya fikir memenangi Piala FA dan menuju ke musim depan adalah sesuatu yang bagus untuk kami.”

United yang dikendalikan Jose Mourinho menewaskan seteru utamanya Chelsea, Liverpool,  Arsenal, Tottenham Hotspur malah City sejak tiga bulan lalu.

Chelsea yang dibimbing Antonio Conte tewas 1-2 di Old Trafford pada Februari dan Jones percaya prestasi United ketika ini ke atas seteru domestik memberikan keyakinan menuju musim berikutnya.

“Kami bergerak ke arah yang betul,” kata pemain berusia 26 tahun itu. “Kami sentiasa mendapat kritikan kerana kami adalah United dan ia sentiasa seperti ini sejak saya berada di sini, tetapi ia menunjukkan kami bergerak ke arah yang betul bersama pengurus.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 8:31 PM