JURULATIH beregu lelaki kelahiran Indonesia, Paulus Firman mulakan tugas secara rasmi bersama BAM hari ini. - Foto AGENSI
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


PAULUS Firman mempunyai sasaran tersendiri apabila kembali berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terutama dalam memperkuatkan skuad pelapis bagi melahirkan lebih ramai pasangan setanding Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Jurulatih beregu lelaki kelahiran Indonesia itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kembali bersama badan induk berkenaan disebabkan keinginan yang membuak untuk membantu skuad negara selain meraih cabaran baharu.

"Walaupun pernah berkhidmat di sini, namun saya tetap menganggap ia bakal melahirkan satu cabaran baharu buat saya," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Paulus memulakan tugas secara rasmi bersama BAM hari ini dan akan bekerjasama dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit serta seorang lagi jurulatih, Vountus Indra Mawan Saniru.

"Saya yakin semua jurulatih mahukan yang terbaik, begitu juga saya. Kita mahu melahirkan pemain yang mampu untuk muncul juara. Dalam masa sama saya juga mempunyai sasaran jangka pendek dan panjang.

"Bagaimanapun, saya perlu mengadakan dulu perbincangan dengan ketua jurulatih dan pengurusan. Apa yang pasti setiap jurulatih mahu lahirkan pemain sehebat V Shem-Wee Kiong.

“Dalam masa sama, kami juga mahu menaikkan standard pemain pelapis peringkat demi peringkat," katanya yang sebelum ini berkhidmat bersama pasukan kebangsaan Filipina selama empat tahun.

Paulus juga mengakui dia sentiasa memantau perkembangan skuad beregu lelaki negara, termasuk kejayaan V Shem-Wee Kiong meraih perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dan peningkatan prestasi pasangan kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Ditanya bila BAM menghubungi untuk mendapatkan khidmatnya, Paulus berkata, semuanya berlaku ketika di Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah pada Februari lalu.

"Daripada situ, saya ada mendapat tawaran dan berbincang bersama BAM, sebelum mengesahkan persetujuan untuk kembali semula berkhidmat di Malaysia," katanya.

Walaupun agak sedih kerana meninggalkan Filipina, namun dia menjelaskan semuanya terpaksa dikorbankan untuk meraih cabaran baru.

"Saya dan pemain di sana memang berat untuk berpisah, namun saya berpuas hati kerana melahirkan pemain berbakat di peringkat umur 14 hingga 15 tahun sehingga mereka mampu meraih kejayaan di kejohanan remaja di Singapura dan Australia," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini Paulus pernah berkhidmat dengan BAM selama 10 bulan sebelum mengambil keputusan meninggalkan badan induk berkenaan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:32 PM