NORAZLAN RAZALI
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Selangor mungkin berdepan padah seandainya masih mengulangi aksi serupa ketika diaibkan Kedah 0-4 hujung minggu lalu, apabila turun berdepan Kuala Lumpur (KL) pada saingan suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Ingatan itu disuarakan oleh penjaga gol, Norazlan Razali yang berharap mereka belajar daripada kekalahan besar itu demi mengelak daripada terus berputih mata.

“Punca kekalahan kepada Kedah, Sabtu lalu adalah kerana pemain gagal mengekalkan semangat berpasukan seperti ditunjukkan ketika mengalahkan Terengganu (FC) dan KL pada Piala FA.

“Kami tidak bermain sebagai satu unit dan tidak menunjukkan kesungguhan untuk menang. Saya tidak mempunyai jawapan mengapa kami bersikap begitu tapi jika ia diulangi pada perlawanan Sabtu ini, Selangor akan menerima padah.

“KL sudah pasti akan bermain bermati-matian kerana mereka tidak mempunyai pilihan kecuali menang besar ke atas kamu untuk mara,” katanya.

Menurut Norazlan, walaupun Selangor memiliki bekalan selesa hasil kemenangan 3-0 di tempat lawan pada suku akhir pertama, namun ia belum menjamin tempat mereka ke separuh akhir.

“Kalau Kedah boleh tewaskan kami 4-0, tidak mustahil KL juga boleh melakukan perkara sama jika kami mengambil sikap mudah dan berpuas hati dengan kelebihan dimiliki,” katanya.

Malah, penjaga gol berpengalaman itu turut mengambil iktibar daripada keputusan dramatik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu yang membabitkan dua kelab terkemuka Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid.

Barca disingkir Roma melalui jaringan di tempat lawan selepas terikat agregat 4-4 sekali pun memiliki bekalan selesa hasil kemenangan 4-1 pada suku akhir pertama.

Real pula yang selesa dengan kemenangan 3-0 di tempat lawan nyaris diheret ke perlawanan masa tambahan selepas terikat agregat 3-3 sebelum sepakan penalti saat akhir Cristiano Ronaldo menyelamatkan mereka.

“Kedua-dua perlawanan itu membuktikan tidak ada yang mustahil dalam bola sepak. Apa yang dialami oleh Barca dan Real bagus untuk kami jadikan iktibar,” kata Norazlan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 1:24 PM