PEP Guardiola (kanan) memeluk De Bruyne selepas tamat aksi menentang Tottenham pada 14 April lalu. - Foto AFP
AFP

LONDON: Kevin De Bruyne berkata Manchester City sudah bersedia untuk mendominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) di masa hadapan di bawah kepimpinan Pep Guardiola.

City disahkan muncul juara EPL pada Ahad lalu dengan mencatatkan rekod apabila masih berbaki lima perlawanan susulan kekalahan mengejut Manchester United kepada kelab yang bergelut di kedudukan bawah, West Bromwich Albion.

De Bruyne yang juga pemain tengah Belgium muncul sebagai salah seorang pemain City yang menonjol dalam kempen kali ini tetapi dia tahu Guardiola adalah perancang utama di sebalik kejayaan pasukan mereka.

Keutamaan buat City selepas berakhirnya musim ini adalah memastikan khidmat Guardiola yang juga bekas ketua jurulatih Bayern Munich dan Barcelona serta memastikan kejayaan Piala Liga pada Februari lalu, terus kekal dengan kontraknya yang berbaki setahun saja lagi.

"Semua orang tahu yang dia adalah antara jurulatih terbaik di dunia. Untuk mendapatkan apa yang dia peroleh dalam permainan ini, ia adalah istimewa dan berada sebahagian daripada kumpulan pemain yang dibimbingnya banyak membantu kami berkembang," kata De Bruyne.

"Dia tiba ke sini dua tahun lalu dan mengubah cara kami bermain. Jelas sekali ia mengambil masa untuk membiasakan diri tetapi kami berkembang bersama dan musim ini adalah ganjaran terhadap semua usaha kami.

"Apa yang kami mahukan pada masa ini adalah terus bermain cara kami musim ini dan menjadi lebih kuat. Dia memainkan peranan besar untuk itu dan berharap ini akan menjadi trofi pertama City dalam banyak lagi trofi di City."

Disokong oleh pemilik City dari Abu Dhabi, Guardiola membelanjakan peruntukan besar untuk menyuntik skuadnya dan tambahan kekuatan dijangka tiba lagi selepas ini.

Tetapi De Bruyne percaya skuad City masa ini sudah cukup bagus untuk mendapatkan pencapaian baik musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 8:14 AM