ARSENE WENGER
Reuters

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan keputusan Liga Perdana Inggeris (EPL)  melambatkan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) seakan membiarkan liga yang menjadi tumpuan utama dunia itu mengundur selangkah ke belakang.

Sebanyak 20 pasukan yang mengundi membantah penggunaan sistem berkenaan untuk musim 2018/19 selepas keputusan dalam tempoh percubaan dalam pertandingan piala yang menimbulkan banyak pandangan berbeza.

“EPL dicipta oleh individu yang mempunyai pemikiran progresif,” kata Wenger selepas pasukan kendaliannya tewas 1-2 di tangan Newcastle, malam tadi. 

“Secara keseluruhannya, saya percaya yang keputusan itu meletakkan kami terkebelakang daripada yang lain di dunia.

“Generasi muda sudah biasa (dengan VAR) dan secara keseluruhannya mereka mungkin sudah jauh daripada kami kerana mereka sudah menyaksikannya di negara lain melakukannya.

“Malangnya, EPL sekali lagi memutuskan tidak akan menggunakan VAR dan secara peribadi saya percaya yang ia satu keputusan yang teruk,” kata Wenger.

“Setiap perlawanan penting musim ini terdapat beberapa kesilapan pengadilan dan ia mungkin dapat dielakkan menerusi VAR, terutamanya dalam saingan Liga Juara-Juara antara Manchester City dan Liverpool.”

Arsenal seterusnya dijadual melayan kunjungan West Ham, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:13 PM