PASANGAN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying lakar kemenangan ke atas pasangan Ireland, Sam Magee-Chloe Magee 18-21, 24-22, 21-15 dalam aksi pusingan pertama di Birmingham. - Foto Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


BEREGU campuran badminton negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tetap yakin mampu mengulangi pencapaian tahun lalu dengan mara sehingga ke final pada saingan Seluruh England, kali ini.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying yang turun dengan status naib juara tahun lalu dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Ireland, Sam Magee-Chloe Magee 18-21, 24-22, 21-15 dalam aksi pusingan pertama di Birmingham, hari ini.

“Set pertama lawan bermain dengan cukup baik, kami pula rasa tidak selesa dan gagal menyesuaikan diri. Namun, set kedua kami ubah taktikal permainan kami dan ia menjadi, kami berjaya bangkit untuk memenangi set kedua.

“Set ketiga kami sudah dapat rentak sebenar kami dan mendahului lawan dengan jauh,” kata Peng Soon ketika dihubungi di Birmingham, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016  berdepan laluan sukar dalam misi ke suku akhir apabila pilihan kelapan dari China, Zhang Nan-Li Yinhui dijangka menanti mereka di pusingan kedua, esok. 

Zhang Nan-Li Yinhui hanya akan turun beraksi menentang pasangan Perancis, Ronan Labar-Audrey Fontaine untuk aksi pusingan pertama awal pagi nanti.

“Ia pastinya cabaran sukar untuk kami menentang Zhang Nan-Lin Yinhui, mereka pasangan yang berpengalaman. Namun, kami tidak gentar dan saya yakin kami boleh menang ke atas mereka,” kata Peng Soon. 

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing tewas di tangan pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 18-21, 11-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:37 PM